NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Politik kedai nasi kandar



PADA suatu malam di ambang Syawal tahun ini, saya melihat segerombolan manusia beratur panjang di kedai nasi kandar Sulaiman, Jalan Datuk Keramat, Pulau Pinang.

Sambil memandu, saya turunkan tingkap lalu berteriak, “Woi, hangpa gila ka beratoq panjang-panjang,” lantas memecut pergi. Barisnya sudah sampai hampir ke masjid Shaik Eusoff, mungkin hampir 200 meter dari kaunter lauk.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, demikianlah keadaannya di kedai nasi kandar seluruh Pulau Pinang. Tiba hujung minggu, merenyutlah pelancong datang ke mari; beratur panjang untuk merasai penangan nasi putih panas, ayam goreng, cabai muda, kobis goreng, kari campur banjir.

Sebenarnya tak jauh beza dengan situasi pasca PRU15 hari ini. Sambil inai pilihan raya perlahan-lahan lekang, Malaysia masih belum ada perdana menteri. Lama kita menunggu. Dan seperti di kedai nasi kandar juga, harus beratur satu-satu untuk bertemu joki lauk, ditanya seorang demi seorang: “Sokong siapa jadi perdana menteri?”

Gantung

Malaysia belum pernah lagi menyaksikan keputusan pilihan raya yang sebegini rupa, ketika tiada parti politik yang dengan jelas memperolehi cukup bilangan untuk membentuk kerajaan.

Cukup bilangan itu pula adalah separuh lebih satu daripada bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan. Pada ketika itu, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi, maka majoriti mudahnya adalah sebanyak 112 kerusi.

Tidak, bukan 80 kerusi; bukan kerusi paling banyak terus boleh bentuk kerajaan. Yang demikian itu adalah bersalahan dengan peruntukan undang-undang, dan tidak masuk akal sama sekali. Meski ramai mendakwa sepatutnya yang paling banyak kerusi harus dijemput untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu.

Oleh kerana tiada parti politik yang mempunyai cukup bilangan 112 kerusi, maka ketua-ketua gabungan perlulah berunding. Dan dikeranakan undang-undang lompat parti dikuatkuasakan, maka persetujuan – mengikut satu tafsiran – haruslah secara en bloc, secara keseluruhan gabungan, bukan individu.

Putus

Di tempat pertama, Pakatan Harapan (PH) muncul johan perlumbaan demokrasi kali ini. Meski gagal mencapai angka keramat 112 kerusi, gabungan yang diketuai Anwar Ibrahim itu mencapai bilangan 82 kerusi.

Ia diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 30 kerusi.

BN ternyata melingkup teruk akibat perpecahan undi yang memberi kelebihan hebat kepada PN, PAS terutamanya. PAS memenangi 43 kerusi, berbanding Bersatu yang cuma meraih 30 kerusi.

Kalau kita patah balik ke zaman tercetusnya gerakan reformasi dan Barisan Alternatif, maka gabungan PAS-DAP-PKR lah yang muncul johan dengan menawan 115 kerusi. Kalau dicampur 8 kerusi Amanah yang semuanya dahulu pun PAS, maka jumlah besarnya 123 kerusi. Hebat!

Apatah lagi dengan kekalahan Dr Mahathir Mohamad di Langkawi sehingga hilang wang deposit. Generasi kepimpinan Barisan Alternatif pada PRU 1999 tentunya girang gembira dengan keputusan PRU15 ini. Betul-betul reformasi!

Namun tempoh 24 tahun menyaksikan demikian banyak perubahan, pergeseran dan putusnya tali silaturahmi antara parti ini. Kalau tak, senang kerja.

Masalah yang timbul hari ini ialah apabila BN kecundang kepada PAS, yang menjalin hubungan dengan Bersatu, membentuk semua gerombolan dilihat ekstrem, hatta didakwa mempersenjatakan sentimen kaum dan agama untuk mengaburi hati nurani pengundi hingga tidak dapat melihat melampaui isu emotif yang mereka mainkan di media sosial.

Lalu demi menyelamatkan negara daripada dikuasai gabungan terbabit, dijilatlah sekalian ludah dan kata maki antara BN dan PH selama ini, demi membina kesepakatan agar negara yang berbilang kaum dan agama ini tidak terjerumus ke dalam jurang politik perkauman yang semakin marah dan berbahaya. Sekurang-kurangnya itulah hujah yang dikemukakan.

Para pengundi di luar bilik hotel sekadar melopong ternganga menyaksikan mereka yang cuba dibuang dari kerajaan tiba-tiba menyusup dan semakin berjaya menyelamatkan tengkuk masing-masing.

Umno-BN terutamanya, setelah begitu giat berusaha untuk menghumban mereka ke lubang gelap sejarah ia masih berjaya menjadi”‘kingmaker” meski berbekalkan 30 kerusi.

Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan untuk mengambil bahagian dalam kerajaan Perpaduan yang bukan diteraju oleh PN. Umno-BN sebelum ini bersetuju membentuk kerajaan dengan PH di Perak dan sedang berunding di Pahang.

Ternyata, Umno-BN sebenarnya hanya mahu duduk di kepala. Ekor-ekor ia tak main, walaupun ia sudah nyata ditolak dan digantikan PN dengan begitu cemerlang.

Kalah

Pun begitu, bukan hanya BN yang kecundang teruk dan kecewa menonggeng. PH pun apa kurangnya.

Gelombang PAS rancak membadai negara setelah parti itu berjaya menjenamakan semula dirinya dengan logo PN di negeri Pantai Barat Semanjung (dan mengekalkan logo bulan di kubu Pantai Timur). Ia menyapu habis kawasan yang dimenangi tipis Umno dalam PRU14, serta turut membaham kerusi yang dirasakan terjamin oleh PH.

Nurul Izzah, Mujahid Yusof Rawa, Mahfuz Omar, Faiz Fadzil semuanya kecundang jua di tangan kuasa pen pada kertas.

Kerana itulah kita boleh melihat parti politik ini sebenarnya, saling tak tumpah seperti kedai nasi kandar.

Ada yang orang reviu kata sedap, ada kata tak sedap. Ada orang keliru antara Deen Maju dengan Deen Jelutong, seperti mana orang keliru antara PAS, Bersatu, Umno dan BN. Semuanya nampak sama saja.

Saya contohnya, amat menggemari nasi kandar Raffe di Pulau Tikus. Kuahnya pekat, rempahnya seimbang, ayam gorengnya besar. Tapi itu tekak saya, yang membesar dalam suasana “kandaqstan” sejak kecil.

Kalau tak suka, memang janganlah dipaksa. Orang Kelantan misalnya, memang tak lalu kalau tak pernah makan. Kari kena manis dan dia lebih berahi ke nasi kerabu. Sepertimana ia sanggup pulang dari Shah Alam ke Machang, untuk mengundi PAS, kemudian balik ke Shah Alam, menikmati faedah sebagai rakyat Selangor. Contoh lah ni, contoh.

Pendek kata, selera dan budaya masing-masing adalah hasil didikan sejak kecil. Selagi tidak mencuba, tiadalah ia tahu.

Selagi ia hanya mendengar pendapat orang, dan langsung percaya tanpa usul periksa, selagi itulah persepsi dan kepercayaannya tiada berubah. Sama halnya seperti kesedaran tentang ideologi dan parti politik. Dengar pendapat yang berasaskan fitnah, terus percaya. Tidak ada tabayyun lagi.

Hakikatnya juga, akan sampai suatu masa, nasi kandar pun akan kurang popular, dan nasi kerabu pula jadi idaman ramai. Seperti juga parti politik hari ini.

Sudah ada kedai nasi kandar menghidangkan sambal belacan dalam rangka menarik pelanggan tekak Melayu. Ada yang buka gerai tomyam pada waktu malam.

Demikian juga pendekatan banyak parti politik.

Ada parti politik yang berusaha untuk menarik minat lebih daripada sekadar tapak sokongannya yang sudah tepu, dengan menawarkan kelainan, atau cuba mencairkan identitinya yang sudah sangat sebati. Namun jika pengundi memang tak ada selera, tiada apa lagi yang boleh dibuat.

Dan apabila kedai nasi kandar kamu itu melingkup, dan pelanggan berduyun-duyun beratur di kedai lain, sebaiknya letak jawatan dan tutup kedai. Biar orang lain ambil alih dan tawarkan menu berbeza. Nasi tomato atau nasi dalcha barangkali. – 24 November, 2022.

Izmil Amri
pemerhati politik






Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo