NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa PH buat untuk tangani isu air di Kelantan?


KOTA BHARU:
Sepanjang tempoh 30 bulan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), banyak pembaharuan dilakukan terutamanya bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, masalah tersebut terus menjadi modal Pakatan Harapan (PH) memburuk-burukan kerajaan negeri dan PAS bagi mengaburi mata pengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya kata beliau apa yang dibuat kerajaan PH ketika diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan bagi menyelesaikan masalah di Kelantan yang ketinggalan daripada mendapat peruntukan Pusat sebelum ini.

“PH pernah memerintah selama 22 bulan, apa yang dilakukan selama tempoh itu di Kelantan.

“Cuma saya hendak tegaskan bahawa isu yang sering tular di media sosial mengenai isu air, alhamdulillah kita berjaya siapkan pembinaan beberapa loji rawatan air (LRA), bukan kita selesai secara total,” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS PRU15 di sini hari ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian berkata, sebelum pembubaran Parlimen KASA merangka pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Antaranya pembinaan LRA Kampung Teluk di Panji dengan kapasiti 30 Juta Liter Sehari (MLD) di bawah peruntukkan Kerajaan Persekutuan serta LRA Mini Telok Mesira Bachok dengan 2 MLD di bawah kerajaan negeri.

Selain itu penukaran 511 kilometer paip uzur jenis asbestos cement (AC) secara berperingkat dengan anggaran kos RM218 juta.

Sehingga sekarang sepanjang 106.2 kilometer telah diganti secara berperingkat yang melibatkan keseluruhan laluan paip sepanjang 4,491 kilometer.

“Begitu juga LRA Mini Ketereh di bawah pembiayaan kerajaan negeri dengan kapasiti 8 MLD dan LRA Mini Jelawat menghasilkan 4 MLD, selain itu Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW).

“Setelah semua LRA baharu beroperasi kapasiti penuh, kadar liputan bekalan air dijangka dapat ditingkatkan daripada 73.1 peratus kepada lebih 80 peratus dalam usaha kita menyelesaikan masalah bekalan air,” katanya.

Selain itu pembinaan rintangan air rendah (low wier) di Sungai Pahi, Kuala Krai dan Sungai Pengkalan Datu dengan kos keseluruhan sebanyak RM35 juta secara geran dan akan siap sepenuhnya pada Mac 2025.

Sementara itu bagi menyelesaikan masalah air secara jangka panjang pihaknya merancang membina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Kampung Labok Machang yang mampu menghasilkan air 500 MLD.

Katanya kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) sedang dijalankan bermula 26 Januari 2022 dalam tempoh 18 bulan untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan di lembangan sungai di Kelantan.

“Keperluan untuk rakyat buat masa sekarang tidak sampai 500 MLD, komponennya ada tiga, satu takungan untuk menyediakan bekalan air dan tebatan banjir.

“Jadi kita manfaatkan program dwi fungsi dalam pembinaan TAPS, yang kedua LRA dan ketiga penukaran sistem paip di LRA untuk membekalkan bekalan air mencukupi kepada LRA berdekatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2022



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo