NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuan Ibrahim bakal bertanding di Pahang?

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka dicalonkan untuk bertanding di Pahang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dia pernah memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Jengka, salah satu kerusi dalam kawasan Parlimen Kuala Krau pada pilihan raya umum ke-10 yang lalu.

Tuan Ibrahim adalah anak kelahiran Kampung Batu Balai, Jerantut dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA Kampus Jengka, Pahang, sebelum bertanding di kerusi DUN Jengka pada tahun 1999.

Dia juga pernah memegang jawatan pesuruhjaya PAS Pahang antara tahun 2004 hingga 2013.

Tuan Ibrahim bagaimanapun memaklumkan dia menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PAS mengenai kerusi bakal ditandinginya.

"Saya serahkan kepada parti. Insya-Allah satu majlis pengisytiharan akan dibuat menjelang (hari) penamaan calon.

"Watikah (calon) PN (Perikatan Nasional) akan diputuskan oleh pengerusi dan jawatankuasa PN negeri (Pahang) nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp, pagi tadi.

Pengerusi PN Pahang ialah Saifuddin Abdullah yang juga penyandang kerusi parlimen Indera Mahkota.

Saifuddin dalam satu majlis di Kuantan, Pahang pada Sabtu memberitahu calon menteri besar PN jika gabungan itu berjaya memenangi PRU15 dan menguasai Pahang ialah daripada PAS.

Ini kerana calon PAS paling banyak bertanding untuk kerusi DUN di Pahang.

Bagaimanapun, semalam ketika ditemui di Bentong, Saifuddin dilaporkan berkata khabar angin mengaitkan nama Tuan Ibrahim bakal bertanding di Pahang hanyalah 'mainan politik' pihak tertentu.

Katanya, desas-desus seperti itu adalah perkara biasa setiap kali pilihan raya diadakan.

Tuan Ibrahim kini penyandang kerusi parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan dilantik Menteri Air dan Alam Sekitar dalam barisan Kabinet selepas 'Langkah Sheraton' pada Mac 2020.

Dalam pada itu, sumber dalaman PAS Pahang memaklumkan, cadangan untuk membawa balik Tuan Ibrahim ke Pahang sudah lama disuarakan pimpinan PAS negeri.

Katanya, Timbalan Presiden PAS itu dijangka akan dicalonkan bagi kerusi parlimen dan DUN di Pahang untuk memberi semangat kepada semua jentera dan memastikan sasaran menumbangkan kerajaan Pahang diterajui Umno ketika ini menjadi kenyataan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo