KUALA NERUS: "Belum masanya untuk maklumkan bertanding atas mana-mana parti," itu jawapan ringkas bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.
Menurutnya, bila tiba masanya nanti, beliau sendiri akan mengumumkan keputusan sebenar untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“PRU kali ini saya rasa kena tunggu dulu sampai hari penamaan calon untuk kita maklum kepada rakyat apa ‘finalnya’. Insya-ALLAH sekarang saya terus berkhidmat kepada rakyat sebagaimana sebelum bubar Parlimen.
“Belum masanya untuk saya umumkan (UMNO atau Bebas). Demokrasi membenarkan siapa saja untuk bertanding. Tentang kemenangan kita serah kepada ALLAH. Kita buat yang terbaik untuk rakyat, paparkan kerja dan jasa sepanjang jadi ahli Parlimen sembilan tahun,” kata penyandang Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Khairuddin berkata, beliau tidak berhenti bekerja dari awal menjadi ahli Parlimen sejak Mei 2013 sehingga sekarang walaupun berlaku pembubaran.
“Sebab itu saya tidak fokus kepada kempen kerana telah buat kerja dalam tempoh yang panjang.
"Untuk PRU kali ini saya cagarkan apa yang telah dibuat selama ini. Solo atau tidak akan diumumkan nanti,” jelasnya.
Pada masa sama, Khairuddin turut mengucapkan terima kasih kepada Pas yang memberi peluang kepadanya bertanding dan menang sebelum ini.
Beliau mendakwa telah menyumbang apa yang termampu cuma kini sampai masanya untuk tidak lagi bersama Pas.
Sebelum ini tular satu poster Khairuddin dikatakan menjadi calon dari BN untuk Parlimen Kuala Nerus. - Sinar Harian
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment