NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembentangan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok jadi sia-sia jika parlimen bubar sekarang

Putrajaya: Bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, RUU itu dapat dibentangkan selepas mendapat dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang bermesyuarat semalam.

Katanya, JPK dianggotai 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, dengan beliau sebagai pengerusi.

"Saya yakin RUU ini boleh diluluskan jika mengikut aturan mesyuarat, tapi sekiranya Parlimen dibubarkan dan ia tidak sempat dibawa ke Dewan Negara, undang-undang ini mesti dibentangkan semula oleh kerajaan baharu, itu prosedurnya.

"Tapi saya harap ia diluluskanlah. Kalau diluluskan kemudian Parlimen bubar, sia-sia sahaja kita (Kementerian Kesihatan) buat kerja... tak boleh bawa perkara ini (ke Dewan Negara) dan terpaksa bentang semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sekiranya RUU itu tidak dapat dibentangkan pada sesi Parlimen ini, beliau tetap berpuas hati kerana sudah membawanya ke tahap penyata JPK Parlimen dan boleh digunakan sebagai rujukan kepada kerajaan akan datang.

"Sebab semua (ahli JPK Parlimen) dah setuju, jadi bawa sahajalah (dibentangkan semula ke Dewan Rakyat), semua urusan rumit sudah selesai serta RUU ini juga sudah mendapat pandangan daripada pihak lain.


"Saya nak bawa, tapi takut tak sempat sebab dia punya suhu (politik) dah panas," katanya.

Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama dan Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu bersetuju supaya ia dirujuk kepada JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan sebelum bacaan kedua.

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG), hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.

Ia antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau 'vape' kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2007.

Ketika ini, individu yang lahir pada 2007 baru berusia 15 tahun.

RUU juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Sumber | Metro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo