NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Nak saman? Silakan,’ bos Mydin beritahu Caprice


PETALING JAYA:
Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin mencabar penyanyi rap, Caprice memfailkan saman terhadap beliau dan rangkaian pasar rayanya berhubung satu hantaran di Twitter yang didakwa memalukan penyanyi itu.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli mengugut akan menyaman Mydin RM30 juta, sekiranya dia tidak menerima permohonan maaf daripada syarikat itu. Dia turut menuntut catatan itu dipadamkan.

“Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada kami, biar peguam saya semak nanti,” katanya yang dipetik Kosmo.

Ameer juga menegaskan syarikatnya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam mana-mana hantaran di media sosial dan tidak berniat menghina sesiapa pun.

“Kami (Mydin) tak ada sebut nama Caprice atau ‘tag’ Caprice dalam hantaran kami, kenapa dia nak terasa?” soalnya.

Akaun Twitter rasmi Mydin sebelum ini membuat hantaran: “Mula-mula ingat nak beli teh je, sekali terbeli cap dengan rice. Bila sampai rumah rasa tak perlu pun cap dengan rice tu. Nasib Mydin bagi pulangkan balik dalam tempoh 24 jam.”

Semalam, Caprice dalam hantaran di Instagram berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mydin, sekiranya syarikat itu tidak menyiarkan video memohon maaf dan membayar pampasan atas hantaran berkenaan.

“Disebabkan penghinaan awam ini, klien kami tidak lagi berasa selamat dan akan selamanya trauma dengan pembeli, pekerja dan pelanggan dari @mydinmalaysia.”

Bagaimanapun, hari ini, Caprice dalam hantaran di Instagram story menawarkan untuk belanja secara percuma kepada rakyat Malaysia di pasar raya itu.

“Cap nak belanja rakyat Malaysia beras, minyak dan tiga bahan lain ikut pilihan anda secara percuma minggu hadapan. Pilih Lokasi mana korang nak Cap belanja.

“Subang Jaya, Bukit Jelutong atau Batu caves,” katanya.

Ameer mengalu-alukan sekiranya Caprice benar-benar mahu melakukan kerja amal di pasar raya itu dan beliau turut menawarkan gula 1kg kepada pelanggannya.

“Baguslah, kalau Caprice nak buat kerja amal. Jangan lupa hubungi cawangan Mydin yang diinginkan,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo