NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes bunuh, tanam mayat pemilik kedai, lelaki terlepas tali gantung


PUTRAJAYA:
Seorang pekerja rencam terlepas tali gantung kerana didapati bersalah membunuh seorang pemilik kedai cuci kereta yang mayatnya ditemui ditanam di tanah perkuburan hampir lima tahun lepas.

Ini selepas S Soosai, 34, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Ketika membenarkan rayuan Soosai, Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan tiada bukti langsung atau keterangan mengikut keadaan bahawa Soosai menyebabkan kematian B Sugumaran, 32.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Soosai, Afifuddin Ahmad Hafifi, iaitu tidak diketahui apakah maklumat sebenar yang diberikan Soosai kepada polis.



Beliau berkata, tindakan Soosai menunjukkan di mana mayat itu ditanam tidak bermakna dia yang menyebabkan kematian mangsa.

Hadhariah yang bersidang bersama Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah, memutuskan sabitan Soosai bagi pertuduhan membunuh tidak selamat.

Pada 17 Feb 2020, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati ke atas Soosai selepas didapati bersalah membunuh Sugumaran di tanah perkuburan Kristian di Kampung Saga Rantau, Port Dickson antara 6 petang 13 Sept 2017 dan 6.30 petang 11 Nov 2017.

Berdasarkan kes pendakwaan, mangsa dilihat mengikuti dua lelaki menaiki kereta pada 13 Sept 2017, susulan itu abangnya membuat laporan polis keesokannya selepas dia gagal dihubungi dan ditemui.

Pada 6 Nov 2017, polis menahan Soosai dan semasa soal siasat, dia kononnya memberi maklumat mayat mangsa berada di kawasan tepi laut. Selepas membawa polis ke tempat itu, Soosai memberi maklumat lain kepada polis dengan menyatakan mayat mangsa sebenarnya ditanam di tanah perkuburan Kristian.

Pasukan polis kemudiannya ke tanah perkuburan itu dan menemui rangka si mati, selepas Soosai menunjukkan lokasi ia ditanam.

Analisis DNA yang dijalankan ahli kimia mengesahkan rangka itu milik Sugumaran.

Soosai, yang memberi kenyataan tidak bersumpah, menafikan dia memberitahu polis, mayat mangsa ditanam di kawasan perkuburan atau membunuh si mati.

Soosai berkata, dia tidak mempunyai motif untuk membunuh si mati kerana tidak mengenalinya atau menemuinya.

Katanya, dia memberikan maklumat mayat mangsa ditanam di Pantai Chuah kerana tidak tahan diugut dan dipukul polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke yang hadir bagi pihak pendakwaan berhujah keterangan terhadap Soosai mengikut keadaan kerana dia tahu di mana mayat itu berada.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo