NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar rancang kembali ke kerusi ‘Melayu dan selamat’ di Permatang Pauh


PKR dipercayai memuktamadkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang di mana Anwar Ibrahim akan kembali ke kubu tradisinya di Permatang Pauh, dalam langkah yang dipercayai ahli strategi parti untuk menamatkan pencarian panjang bagi kerusi "Melayu dan selamat" untuk calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) itu, MalaysiaNow difahamkan berdasarkan perbualan dengan sumber dipercayai.

Keputusan itu dibuat selepas “pertimbangan teliti terhadap peluang" Anwar untuk memastikan kemenangan besarnya dalam pilihan raya, selain bagi menamatkan perdebatan mengenai defisit sokongan masyarakat Melayu terhadap beliau.

“Sebagai calon perdana menteri, mereka (ahli strategi PKR) sedar perlu ada simbol untuk menunjukkan Anwar mempunyai sokongan orang Melayu.

"Dengan memilih Permatang Pauh, Anwar bukan sahaja menunjukkan beliau akan kembali ke kawasan pengundinya, bahkan mendapat sokongan Melayu," kata seorang pemimpin parti yang mengetahui tentang perbincangan dalaman mengenai langkah yang akan diambil Anwar kepada MalaysiaNow.

Permatang Pauh, kerusi luar bandar di Pulau Pinang, dianggap sebagai kubu tradisi Anwar.

Beliau membuat penampilan sulung di Parlimen sebagai pemimpin muda Umno pada 1982 selepas menang di kerusi itu.
Selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998, kerusi itu ditandingi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tahun berikutnya.

Wan Azizah kekal mempertahankan kerusi itu sehingga 2008, selepas beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen untuk membenarkan suaminya bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya 2018, ketika Anwar sedang menjalani hukuman penjara kedua atas kesalahan liwat, kerusi itu ditandingi oleh anak sulungnya Nurul Izzah.

Namun, pada tahun yang sama presiden PKR yang mendapat pengampunan diraja tidak kembali ke kerusi tersebut sebaliknya memaksa Pilihan Raya Kecil Port Dickson bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula di Parlimen pada 2018. 

Kembalinya Anwar ke Permatang Pauh bukan sahaja menandakan pusingan penuh penggiliran keluarganya di kerusi itu, bahkan bagi meredakan perdebatan panjang dalam parti sama ada terdapat kerusi yang dikhaskan untuk ahli keluarga pemimpin PKR itu.

Sementara itu, pada 2018, isterinya bertanding di Pandan, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas ahli Parlimennya, Rafizi Ramli yang hilang kelayakan untuk bertanding ketika itu.

Kini, Rafizi dilihat mahu menuntut semula kawasan majoriti Cina itu, menyebabkan PKR terpaksa memikirkan satu lagi kerusi "selamat" yang membolehkan Wan Azizah kekal sebagai ahli Parlimen.

"Meletakkan semula Rafizi ke kerusi Pandan adalah dilema bagi parti, kerana peraturan biasa ketika memutuskan siapa yang akan bertanding, isteri Anwar mesti ada kerusi. Beliau akan berguna jika apa-apa berlaku kepada Anwar," kata seorang ahli politik veteran Selangor yang menjadi ahli PKR sejak penubuhannya pada 1999.

Beliau berkata sukar untuk dibayangkan jika seseorang seperti Rafizi dilihat mengenepikan Wan Azizah, "yang bukan sahaja isteri bos, bahkan berjaya menggandakan majoriti yang diperolehinya pada 2013".

Sekurang-kurangnya dua tokoh PKR, bercakap kepada MalaysiaNow namun tidak mahu namanya disiarkan, mengatakan Wan Azizah berkemungkinan mendapat “kerusi gantian" di Bandar Tun Razak.

Keputusan itu dibuat berikutan laporan MalaysiaNow sebelum ini bahawa Anwar sedang mengintai peluangnya selepas dicadangan rakan parti supaya bertanding di Bandar Tun Razak, yang mungkin menyaksikan beliau menentang bekas rakan rapatnya Kamaruddin Jaafar yang kini bersama Bersatu.

Peranan baru untuk Nurul Izzah?

Sementara itu, timbul persoalan mengenai masa depan Nurul Izzah, anak sulung presiden PKR yang memegang jawatan kanan dalam parti sekiranya Permatang Pauh dikembalikan kepada bapanya.

Walaupun tidak bertanding dalam pemilihan parti, wanita berusia 42 tahun itu dilantik sebagai naib presiden, selain dipilih mengetuai PKR di tiga negeri: Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Difahamkan beliau juga diberi jaminan untuk bertanding pada PRU15, walaupun kali ini beliau mungkin tidak bertanding di peringkat persekutuan.

“Ada cakap-cakap yang Nurul ditawarkan jawatan penting di peringkat negeri, bermakna beliau akan bertanding di kerusi DUN.

"Kemungkinan besar, beliau akan bertanding di kerusi DUN di bawah Permatang Pauh."

Ketika dihubungi, seorang Adun Pulau Pinang berkata beliau tidak mengetahui sebarang “jawatan penting negeri" yang dibincang untuk diberikan kepada Nurul Izzah atau sesiapa sahaja dari PKR.

Sebagai wakil rakyat PKR, jawatan tertinggi negeri di Pulau Pinang yang mungkin diperuntukkan kepada Nurul Izzah adalah salah satu daripada dua jawatan timbalan ketua menteri (TKM) yang dikhaskan untuk parti itu.

Sejak mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, kerajaan negeri yang diketuai DAP secara tradisinya melantik dua TKM untuk mewakili etnik minoriti India dan Melayu, dilihat sebagai satu cara untuk meredakan kritikan bahawa pentadbiran itu "didominasi oleh orang Cina".

Walaupun P Ramasamy dari DAP kekal sebagai TKM II mewakili kaum India, jawatan TKM I, yang diperuntukkan kepada PKR untuk mewakili masyarakat Melayu di Pulau Pinang, sering berdepan keadaan yang tidak menentu.

Pada 2009, setahun selepas PRU12, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai TKM I, dan beliau kemudiannya menyertai Umno, menuduh PKR mengabaikan tanggungjawab mempertahankan Melayu-Islam.

Pada 2012, Mansor Othman, yang menggantikan Fairus, terperangkap di tengah-tengah kontroversi selepas beliau didengar menggunakan perkataan "tokong" untuk menggambarkan ketua menteri ketika itu Lim Guan Eng dalam sebuah klip rakaman.

Selepas Mansor berpindah ke kerusi persekutuan pada pilihan raya 2018, ahli politik PKR yang kurang dikenali, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menjadi wakil parti itu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Umur Zakiyuddin ditambah pula dengan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan beliau memainkan peranan penting sebagai TKM secara menyeluruh. 

“Dengan Nurul Izzah, kami harap keadaan itu akan berubah dan meletakkan PKR di landasan yang lebih menonjol dalam pentadbiran Pulau Pinang, khususnya dalam membawa isu-isu mengenai orang Melayu-Islam di Pulau Pinang yang masih kekal setia dengan Umno,” kata sumber PKR itu.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo