NOTIS:

Belum ada lagi....

Warga emas digesa ambil vaksin influenza, elak risiko tidak diingini

0

Majlis Pelancaran kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun anjuran program Immunise4Life (IFL). - Foto Astro AWANI

PETALING JAYA: Warga emas berusia 65 tahun dan ke atas digesa untuk mencegah influenza dengan mendapatkan vaksin terhadap penyakit itu setiap tahun bagi mengurangkan risiko penyakit teruk, dimasukkan ke hospital dan kematian.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) melaporkan influenza sebagai penyakit pernafasan yang boleh menyerang sehingga 70 peratus penghospitalan dan sehingga 85 peratus kematian.
Justeru, katanya, pencegahan influenza turut tersenarai sebagai salah satu tabiat gaya hidup yang disyorkan untuk warga emas, bagi membantu mengekalkan kesihatan, kebolehan berdikari serta meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Saya menggesa warga emas untuk mencegah influenza dengan mendapatkan vaksin terhadap penyakit tersebut setiap tahun.
“Memetik pernyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi influenza ialah salah satu cara terbaik untuk mengurangkan risiko penyakit teruk, penghospitalan dan kematian.
“Saya juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut kesesuaian seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap dan menjauhi mereka yang menunjukkan simptom-simptom penyakit pernafasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun anjuran program Immunise4Life (IFL), di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, bagi warga emas, vaksinasi influenza tahunan telah terbukti dapat mengurangkan risiko penghospitalan dan kematian sebanyak lebih 40 peratus.
“Selain itu, suntikan tahunan juga memberi manfaat kepada mereka yang menghidap diabetes dengan mengurangkan risiko strok (sebanyak 30 peratus), kegagalan jantung (22 peratus) dan serangan jantung (19 peratus).
“Manakala, bagi pesakit jantung, vaksinasi influenza mengurangkan kemungkinan peristiwa kardiovaskular utama (sebanyak 36 peratus). Kemungkinan mengalami kematian berkurang sebanyak 18 peratus dalam kalangan orang yang mengalami kegagalan jantung.
“Individu yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akan dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45 peratus,” katanya.
Tambah Zulkifli, warga emas juga dinasihati untuk mengamalkan sikap yang proaktif dan tidak memandang rendah terhadap kesan jangka panjang influenza.
“Jangan tunggu wabak untuk mendapatkan suntikan influenza. Sebaliknya, jadikan pengambilan vaksin sebagai komitmen tahunan.
“Jangan memandang rendah terhadap influenza kerana hanya satu jangkitan sahaja boleh menyebabkan anda dan orang yang anda sayangi mengalami kesan jangka panjang yang teruk,” jelasnya.
Zulkifli turut berharap agar Malaysia mencontohi negara lain dalam menawarkan vaksin influenza percuma kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas.
Kempen Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 Tahun ialah fasa keempat dalam inisiatif 'Flu Prevention is an Act of Love' (AOL) yang dilancarkan pada 2019.
Untuk maklumat lanjut tentang pencegahan influenza untuk warga emas, boleh melayari https://actoflove.ifl.my/warga-emas.


Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo