NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BNM naikkan OPR kali ketiga tahun ini sebanyak 2.50 peratus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

BNM dalam satu kenyataan berkata, ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah pembendungan yang ketat di China.

Namun, bank pusat itu berkata, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Katanya, tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

"Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.

"Khususnya, pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

"Hal ini telah menyebabkan ketidaktentuan yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit," katanya.

Pada masa hadapan, BNM berkata, pertumbuhan global dijangka menghadapi cabaran daripada kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah pengurusan pandemik di China.

Ia berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan menjadi ketat secara mendadak.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM menjelaskan, peralihan ke fasa endemik dan langkah dasar telah menyumbang kepada prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku kedua 2022.

Pada masa hadapan, ia berkata, penunjuk menunjukkan pertumbuhan yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta.

"Keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan terus positif, dengan pengangguran dan guna tenaga tidak penuh terus berkurang.

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan meningkatkan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun," katanya.

Walau bagaimanapun, BNM berkata, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

Ia berkata, meskipun ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan Malaysia.

Katanya, keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi, dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur.

"Institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Hal ini akan memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi," katanya.

Pada masa hadapan, BNM berkata, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.

Sejak awal tahun hingga kini, bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.8 peratus.

Katanya, inflasi keseluruhan diunjurkan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 sebelum menurun selepas itu.

Hal itu, jelasnya, disebabkan oleh kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun.

"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022, dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.

"Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi.

"Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh langkah dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan," katanya.

Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus kukuh, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo