NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan

Khairy berkata, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka untuk memasuki premis mereka atau sebaliknya. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta, umum Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengulas lanjut, katanya pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri.
Begitupun, jelas Khairy, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka untuk memasuki premis mereka atau sebaliknya.
"Maksudnya sekarang kita serahkan kepada pemilik premis. Kalau pemilik premis mahu pengunjung pakai pelitup muka, maka kena pakai pelitup muka.
"Sebagai contoh, kalau kedai gunting rambut wajibkan pakai pelitup muka, kita kena pakai dan mereka ada hak untuk tidak benarkan pengunjung masuk," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) - Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini pada Rabu.
Tambah beliau, meskipun pemakaian pelitup muka kini adalah pilihan namun terdapat beberapa situasi yang pemakaiannya masih diwajibkan.
"Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan sekiranya positif COVID-19, ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.
"Selain itu, ia juga diwajibkan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya," ujarnya.
Tambah Khairy lagi, orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.
"KKM menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah-rumah ibadat.
"Individu bergejala seperti demam, batuk, selsema dan berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan terus memakai pelitup muka.
"KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak," katanya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan berkuat kuasa 1 Mei 2022, pemakaian pelitup muka di luar bangunandan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan, tetapi atas pilihan individu.
Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Khairy ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan, pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan selepas mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo