NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wang kepada Zahid bukan turun dari 'langit'

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini, diberitahu sumber wang tunai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) diberikan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bukan turun dari 'langit' sebaliknya hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata isu yang timbul berhubung pengesahan sumber berkenaan juga bukan satu elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan bukti dipercayai yang boleh membawa kepada prima facie atau keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Mereka (saksi pendakwaan) tidak berbohong. UKSB tiada wang, maka perlu bantuan daripada rakan niaga di Hong Kong dan ia disahkan David Tan Siong Sun (bekas Pengurus Pentadbiran UKSB).

"Ada perjanjian UKSB dengan pihak di Hong Kong, wang bukan turun dari 'langit'. Mahkamah perlu menilai bukti dikemukakan bahawa beliau (Ahmad Zahid) meminta wang itu.

"Beliau tidak sepatutnya meminta wang itu dan tiada hak untuk menggunakan kedudukannya (sebagai menteri) untuk mendapatkan wang berkenaan," katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, berkata tiada bukti bagi mengesahkan sumber wang tunai UKSB diberikan kepada Ahmad Zahid, adalah hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

Katanya, ia susulan tiada saksi pendakwaan dari syarikat terbabit, dipanggil bagi memberi keterangan untuk mengesahkan kewujudan wang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendakwaan menawarkan saksi berkenaan kepada pihaknya, namun ia bukan tugas pembelaan untuk membuktikan kes itu.

"Saksi pendakwaan ke-15, 16 dan 17 (dua bekas Pengarah USKB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Siong Sun) kata wang diberi bukan daripada UKSB sendiri. Jadi wang dari mana.

"Jika sumber wang dari Hong Kong, kena panggil saksi dari negara itu untuk sahkan perkara berkenaan termasuk jumlahnya. Sumber wang itu daripada Visa Malaysia Ltd, selain dividen Valiant Capital Corporation dan Maintech System HK Ltd (syarikat Hong Kong).

"Pengarah syarikat itu perlu dipanggil beri keterangan. Mereka perlu membuktikan wang itu wujud atau tidak, ia perkara asas. Yang ada sekarang hanya keterangan tiga saksi pendakwaan berkenaan," katanya.

Selain Hamidi, Ahmad Zahid diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal, manakala pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Sementara itu, Ahmad Zaidi mempersoalkan siapa sebenarnya yang mencetak lejar UKSB bagi merekodkan wang keluar serta masuk syarikat.

Katanya, ia susulan saksi pendakwaan ke-18 yang juga Penguasa Kanan Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya, V Mahendran dan Siong Sun mengatakan mereka mencetak lejar itu.

"Secara ringkas, cetakan komputer dikemukakan ke mahkamah perlu mematuhi dua syarat atau salah satu syarat.

"Kalau tiada sijil, saksi perlu hadir beritahu cetak guna komputer yang berada dalam keadaan baik. Persoalannya siapa yang mencetak lejar itu" katanya.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo