NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan boikot 'rider' dapat perhatian PM

Kelihatan penunggang p-hailing di Restoran Pelita, Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Tindakan penghantar p-hailing yang memboikot hari ini sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan, membuahkan hasil apabila mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor, berkata petang tadi pihaknya berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri apabila diarahkan oleh Perdana Menteri yang cakna akan isu penghantar p-hailingyang viral pada hari ini.

"Satu pertemuan tertutup akan diadakan pada 8 Ogos, Isnin ini bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mana akan diketuai Setiausaha Politik Perdana Menteri, PENGHANTAR, wakil penghantar p-hailing dan vendor.

"Saya percaya kerajaan sudah pun mengetahui asas Lima Tuntutan Hak PENGHANTAR yang kami bawa sebelum ini bersama Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia.

"Kini sudah tiba masa untuk tindakan segera diambil supaya penindasan dan manipulasi ini dapat menemui jalan keluarnya.

"Pihak kami turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri juga mahu pelan jangka pendek dan panjang dibuat segera supaya permasalahan ini dapat menemui jalan penyelesaiannya dan mengalukan sebarang cadangan yang tuntas daripada sahabat penghantar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulhelmi berkata, tindakan boikot yang dibuat hari ini adalah sebagai tanda menyatakan ketidakpuasan hati terhadap penindasan yang berlaku selama ini.

Katanya, selain di Lembah Klang, hampir di kebanyakan negeri penghantar p-hailing turut melakukan boikot aman itu.

"Terima kasih dan tahniah buat semua penghantar p-hailing yang menjayakannya hari ini. PENGHANTAR bersolidariti bersama anda semua.

"Saya kira sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam negara yang penuh demokrasi ini, tidak salah untuk kami dan penghantar p-hailing berbuat demikian demi menyatakan bantahan terhadap isu penurunan kadar bayaran upah perkhidmatan yang semakin hari semakin menurun, semakin tidak menentu.

"Hal ini terjadi kerana beberapa faktor antaranya tiada pengawalan khusus iaitu satu polisi oleh kerajaan terhadap syarikat-syarikat perkhidmatan yang boleh melakukan sesuka hati mengikut prosedur sendiri.

"Isu ini juga adalah isu berulang yang telah banyak kali PENGHANTAR suarakan kepada pihak syarikat mahupun pihak berwajib," katanya.

Zulhelmi berkata, beberapa memorandum juga sudah diserahkan kepada pihak berwajib dalam menyelesaikan isu ini termasuk berhubung harga lantai yang perlu ditetapkan segera oleh kerajaan bagi setiap penghantaran.

Katanya, pihaknya mencadangkan bagi jarak lima kilometer pertama adalah sebanyak RM5, manakala penambahan setiap satu kilometer adalah 80 sen ke RM1. 

"Isu hari ini pula adalah daripada beberapa isu yang pernah dibawa kami kepada pihak berwajib termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah, Jarak Peta Digital dalam aplikasi yang tidak sama dengan jarak sebenar dan isu penamatan ID yang dibuat tanpa sebab munasabah," katanya. 

Beliau berkata, tindakan memboikot yang diadakan hari ini bukan dianjurkan PENGHANTAR tetapi ia adalah inisiatif yang digerakkan sendiri oleh sahabat-sahabat penghantar p-hailing untuk memberi sedikit tekanan kepada syarikat penyelia perkhidmatan.

Katanya, pihaknya tidak dapat membayangkan jika tindakan memboikot itu dilakukan lebib sehari kerana dalam rantaian ekonomi gig p-hailing, semua pihak penting dan perlu bertolerasi antara satu sama lain. 

"Justeru, kami amat berharap supaya pihak syarikat dapat lebih peka terhadap isu kadar upah ini pada masa akan datang dan jangan dikurangkan sesuka hati.

"Kepada pelanggan pula, kami berharap anda dapat memahami situasi yang berlaku pada hari ini," katanya.

Semalam, Berita Harian melaporkan, semua penghantar p-hailing dijangka melakukan boikot dengan tidak akan beroperasi selama 24 jam hari ini, sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Terdapat juga poster yang tular di pelbagai platform media sosial dengan perkataan 'Off 1 Hari' dan 'Food Delivery Blackout Jumaat 5 Ogos 2022'. Turut kelihatan adalah tanda pagar #mogok #24jamoff # naikkanfare #fpsembelihrider #grabsembelihrider #24hournoshift #off sehari.


Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo