NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Silat jadi jambatan budaya Melayu Nusantara, dunia luar - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

AYER KEROH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seni silat mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, seni silat yang sudah lama bertapak ini perlu dipertahan dan dikekalkan kerana ia diterima semua lapisan masyarakat. 

Beliau berkata, pengamal silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, malah ia berjaya membentuk keterampilan dan jati diri, selain menyemai semangat juang yang tinggi.

"Ini kerana silat dapat mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam," katanya ketika menutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Datuk Seri Probowo Subianto dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada PESAKA bagi menghargai sumbangan diberikan anak silat serta membantu PESAKA mengembangkan seni silat di persada dunia.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana dunia persilatan Melayu sudah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara. 

Terbaru, katanya, PESAKA dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan silat sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi kepada Malaysia.

"Seni silat seharusnya menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini yang membentuk karakter peribadi dan disiplin bagi sesiapa yang mengamalkannya.

"Saya berharap seni silat akan terus dipraktikkan generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan dan kekal relevan sepanjang masa," katanya.

Ismail Sabri berkata, tayangan filem Mat Kilau yang mencetuskan fenomena di negara ini diinspirasikan daripada perjuangan dan keberanian pahlawan Melayu, Mat Kilau dalam menentang penjajahan. 

Katanya, impak filem itu begitu luar biasa, bukan hanya mencatat kutipan sehingga RM90 juta hanya dalam tempoh 33 hari ditayangkan, malah kepada persatuan silat juga apabila menerima banyak ahli baharu yang berminat mempelajari seni mempertahankan diri ini. 

"Saya difahamkan terdapat persatuan silat menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu, berbanding hanya empat atau lima orang pelajar dalam tempoh setahun sebelum ini. 

"Ini jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam," katanya.

Mengulas Kejuaraan Pencak Silat Dunia itu, Ismail Sabri berkata, penganjurannya sudah pasti mencipta satu lagi sejarah keluarga silat dan seni mempertahankan diri dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar. 

"Penganjuran kejuaraan di bumi Melaka bersejarah ini amat signifikan memandangkan negeri ini sarat dengan peristiwa penting berkait dengan pahlawan Melayu yang tersohor berjuang mempertahankan agama dan tanah air terutama ketika zaman Kesultanan Melaka.

"Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam sama, perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat.

"Menang atau kalah adat pertandingan, tetapi apa yang lebih penting ialah menjadikan kejohanan ini untuk memperkukuh hubungan sesama pesilat, bertukar pandangan dan pendapat demi mencapai masa depan silat lebih cemerlang," katanya.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo