NOTIS:

Belum ada lagi....

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berbincang minggu depan, galakkan kempen jualan murah

0



Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas mengadakan tinjauan harga makanan di cafeteria Hafsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan mengadakan perbincangan pada minggu hadapan bagi menggalakkan semua outlet, kedai runcit dan pasar raya melancarkan kempen jualan murah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Annuar, yang juga pengerusi pasukan khas itu, berkata sekiranya semua pihak melancarkan kempen jualan murah secara besar-besaran, ia membolehkan pengguna mengurus perbelanjaan mereka dengan lebih baik.
"Jadi kempen jualan murah ini boleh diadakan jika peniaga tidak ambil sikap terlalu tamak atau pentingkan diri sedangkan mereka berkeupayaan menjalankan program jualan murah. Jadi program jualan murah ini tidak perlulah tunggu akhir tahun," katanya selepas meninjau harga makanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak hari ini.


Beliau berkata pihaknya merancang untuk program jualan murah itu bermula pada Ogos atau September dan akan berunding dengan lebih banyak pihak supaya dapat melakukan jualan murah bagi membantu pengguna mengimbangi kenaikan harga barang yang tidak dapat dielakkan.
"Jadi dengan cara begini, kerajaan menampung sedikit, pengguna pun tampung sedikit sebab naiknya terkawal, penjual pun tampung sedikit. Itu semangat Keluarga Malaysia dalam menangani inflasi. Kalau ini dapat dibuat oleh kita secara keseluruhannya, inflasi insya-Allah akan dapat kita kawal," katanya.
Terdahulu, Annuar meninjau harga makanan di Universiti Malaya bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata secara dasar, pasukan khas itu akan terus menyeru pengusaha dan peniaga supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Merujuk harga ayam sebagai contoh, Annuar berkata beliau memahami bahawa terdapat kenaikan kos tetapi tidak terlalu tinggi kerana ia merupakan barang terkawal yang ditampung oleh kerajaan.
"Maka diharap peniaga dapat memberikan kerjasama kepada rakyat dan masyarakat untuk tidak dengan sengaja menaikkan harga terlalu banyak yang menyumbang kepada inflasi.
"Saya tidak menafikan kos pengeluaran di semua peringkat seperti sayur, daging dan ikan ada kenaikan tetapi kos yang dialihkan kepada pengguna tidak setimpal dengan kos yang naik. Maka kalau kita semua tidak dengan sengaja menaikkan harga, kita menyumbang kepada mengurangkan kadar inflasi, itu maksud saya," katanya.
Menyentuh dakwaan kenaikan harga di premis makanan di institusi pengajian tinggi, Annuar berkara beliau mendapati perkara itu berlaku tetapi pada kadar yang tidak terlalu tinggi namun berpandangan peniaga perlu berusaha untuk tidak menaikkannya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana telah mengambil inisiatif melancarkan program Foodbank yang masih berjalan dengan sebahagian daripadanya mengedarkan barangan kering.
"Kalau kita dapat misalnya Foodbank yang ia (barangan) boleh kita berikan kepada pengusaha kafeteria dan mereka memasak serta membekalkannya pada harga rendah dan murah maka itu mungkin satu cara kita boleh merendahkan perbelanjaan mahasiswa daripada hanya kita mengedarkan barangan kering.
"Yang kedua, kita ada berunding dengan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Dr Noraini Ahmad) dan beliau akan menyemak sejauh mana misalnya kita boleh berikan insentif kepada pengusaha kafeteria," katanya.
Pada Rabu lepas, media melaporkan inflasi yang meningkat di seluruh negara memberi kesan terhadap golongan pelajar apabila kafeteria universiti dan kedai koperasi mula menaikkan harga makanan serta barangan runcit dengan sesetengahnya dijual melebihi harga pasaran.
-- BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo