NOTIS:

Belum ada lagi....

Peniaga patuh jual ayam, telur ikut harga siling baharu

0

Operasi Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak (Op ATM) di kebanyakan negeri hari ini mendapati kebanyakan peniaga patuh kepada penetapan harga siling itu. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan operasi di seluruh negara bagi memastikan peniaga menjual ayam dan telur pada harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan berkuat kuasa hari ini.
Kerajaan pada Rabu lepas mengumumkan harga siling baharu ayam di Semenanjung iaitu RM9.40 sekilogram (kg), manakala telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) selaras dengan keputusan mengekalkan subsidi barangan itu dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Operasi Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak (Op ATM) di kebanyakan negeri hari ini mendapati kebanyakan peniaga patuh kepada penetapan harga siling itu, malah di Terengganu terdapat peniaga yang menjual ayam di bawah harga siling.
Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata tinjauan di dua pasar raya di sini mendapati hampir keseluruhan peniaga mematuhi kadar harga siling baharu yang ditetapkan, selain bekalan ayam adalah mencukupi.
Di TERENGGANU, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Nor Azmi Lamisza berkata tinjauan pihaknya mendapati kebanyakan peniaga termasuk di pasar raya mematuhi harga yang ditetapkan, bagaimanapun terdapat kekurangan bekalan minyak masak paket dan telur ayam.
"Insya-Allah (bekalan) akan pulih sebelum Aidiladha," katanya selepas mengadakan pemeriksaan harga di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Keadaan sama dilihat dalam pemeriksaan di MELAKA, PERLIS, PERAK, JOHOR, NEGERI SEMBILAN dan KELANTAN apabila rata-rata peniaga patuh kepada penetapan harga siling yang baharu, malah tidak mengenakan upah memotong ayam.
Di JOHOR, Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Hairul Anuar Bohro berkata Op ATM akan diteruskan sepanjang bulan ini di semua peringkat rantaian iaitu pengilang, pemborong dan peruncit dengan lokasi tumpuan di pasar basah, pasar awam, pasar tani dan pasar raya.
Bagaimanapun, di PULAU PINANG tinjauan mendapati masih ada penjual ayam mengenakan caj perkhidmatan RM1 hingga RM1.50 bagi setiap kilogram ayam.
Seorang peniaga di Pasar Sama Gagah, Permatang Pauh yang hanya mahu dikenali sebagai Zafri berkata peniaga terpaksa mengenakan caj pemotongan ayam bagi menampung kos penjualan dengan harga siling baharu itu.
Di PAHANG, pemeriksaan harga barang kawalan itu bukan sahaja melibatkan ayam dan telur, malah minyak masak sawit tulen botol bagi memastikan harganya kekal munasabah dan peniaga tidak mengambil kesempatan.
Di SELANGOR, seorang peniaga kedai makan di Shah Alam, Hamidah Sayuti, 25, berasa lega dengan pelaksanaan harga siling ayam standard itu kerana beliau tidak perlu menaikkan harga lauk berasaskan ayam di kedainya.
Di KEDAH, Pengarah Urusan syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam, Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) Mazlina Kamarudin berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan harga siling yang dilihat sebagai situasi menang-menang kepada penternak dan pembeli.
Di SARAWAK, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Limbang Mohamad Abu Bakar menggesa kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam yang seragam di daerah Limbang dan Lawas memandangkan harga di kawasan itu paling tinggi disebabkan faktor kos pengangkutan dan lokasinya yang jauh.
Harga siling ayam di dua kawasan zon utara Sarawak itu ialah RM12.90 sekilogram untuk ayam standard, ayam super (RM13.90 sekilogram) dan ayam hidup (RM8.60 satu kg), manakala telur ayam gred A 49 sen/biji, gred B (47 sen/biji) dan gred C (45 sen/biji).
Harga runcit ayam yang ditetapkan di Sarawak ialah RM9.80 sekilogram hingga RM13.90, manakala harga runcit telur ayam antara 43 sen sebiji dan 50 sen mengikut gred A, B dan C berdasarkan zon berkuat kuasa bermula hari ini hingga 31 Ogos.
Di SABAH, rata-rata peniaga pasar raya dan pasar basah di sini mematuhi harga siling ayam RM12 sekilogram dan 50 sen bagi telur gred A di pantai barat serta RM12.30 sekilogram dan 51 sen di pantai timur Sabah yang ditetapkan kerajaan.
Pengarah KPDNHEP negeri Georgie Abas berkata sebanyak 455 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Sabah di bawah Op ATM Fasa I hari ini.
Katanya daripada pemeriksaan itu termasuk di Pasa raya Bataras di Kingfisher di sini, terdapat lima kes direkodkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo