NOTIS:

Belum ada lagi....

Ketidakseimbangan antara penawaran, permintaan antara faktor kenaikan harga barang - Annuar

0

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kiri) melihat tanda harga semasa minyak masak botol ketika membuat tinjauan harga barangan bersubsidi di sebuah pasaraya hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan menjadi antara punca kenaikan harga barangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Annuar, yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berkata justeru pasukan itu akan membincangkan semula kaedah atau cara untuk mewujudkan keseimbangan antara kedua-duanya.
Beliau berkata sebagai contoh, pembekal sayur sememangnya berdepan kenaikan harga.
"Pengeluaran sayur didapati belum pada kapasiti yang asal, sebahagian pekerja belum balik, pekerja asing yang digunakan belum masuk dan sebagainya sementara permintaan telah mula melonjak semula kepada tahap asal.
"Jadi ada ketidakseimbangan (penawaran dan permintaan). Jika itu keadaannya maka jawatankuasa (pasukan khas) akan membincangkan semula soal bagaimana untuk kita mewujudkan suatu keseimbangan antara sebelah bekalan dan sebelah permintaan," katanya selepas meninjau harga makanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.
Terdahulu, Annuar meninjau harga makanan di kafeteria Universiti Malaya bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ke UIAM dan sebuah pasar raya di sini.
Beliau juga berkata kegagalan sistem atau suatu sistem yang dilaksanakan tidak berjalan seperti dirancang mungkin menyumbang kepada kekurangan bekalan.
"Sebagai contoh, sistem subsidi minyak masak sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan adalah untuk menampung keperluan domestik tetapi secara realitinya, minyak yang sepatutnya hanya digunakan oleh pengguna domestik telah digunakan oleh sektor bukan domestik.
"Macam hari ini pun, saya dapat lihat ada kampit minyak yang digunakan jelas untuk tujuan komersial," katanya.
Annuar berkata apabila perkara itu berlaku secara meluas maka permintaan untuk pengguna domestik menjadi tidak cukup dan sekiranya tidak dikawal serta diperbetul, mungkin ketirisan lebih besar boleh terjadi.
"Jadi saya merasakan perlu ada satu usaha untuk kita perbaiki mekanisme ini. Pasukan khas ini akan berbincang dengan pihak terbabit," katanya.
Beliau juga akan mengadakan tinjauan ke lokasi lain secara berterusan kerana banyak lagi barangan yang disukat dalam menentukan Indeks Harga Pengguna dalam kategori barangan dan perkhidmatan tertentu bagi menangani inflasi.
Katanya selepas ini, pasukan khas itu akan memanggil beberapa pakar ekonomi dan pakar rujuk yang penting untuk menyertai mesyuarat bagi mencari langkah terbaik menangani isu inflasi.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo