NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menyanggah tulisan Joceline Tan


JOCELINE Tan menulis artikel itu di Petaling Jaya – yang jauhnya 434 kilometer dari Alor Setar – namun dia seperti tahu segalanya yang berlaku di Kedah, termasuk di dalam bilik pejabat Menteri Besar.

Apa mungkin dia ada teropong ajaib – seperti dalam filem Do Re Mi – untuk meneropong ke dalam bilik pejabat MB Kedah.

Dalam artikelnya — Kedah MB on shaky ground— disiarkan The Star pada 16 Julai, kolumnis itu menyebarkan khabar angin konon Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengarahkan pembantunya untuk ‘clear’ pejabat.

Dalam kata lain,  Joceline mendakwa tragedi ‘kepala air’ Sungai Kupang, Baling  4 Julai lalu telah benar-benar menjejaskan Dato’ Seri Sanusi hingga beliau sudah berkira-kira untuk mengosongkan pejabatnya di Wisma Darulaman.

Ironinya, saya sendiri — yang bilik saya tidak sampai 10 langkah dari bilik Menteri Besar — tidak pernah dengar adanya arahan MB kepada sesiapa untuk ‘clear’ pejabat beliau sebagaimana yang didakwa Joceline.

Sama ada itu khabar angin, atau Joceline sendiri yang mencetuskan dan menyebarkan khabar angin.

Apa yang saya tahu, kami  bekerja seperti biasa. Jika ada pun yang luar biasa, sejak tragedi itu, MB  jarang masuk pejabat melainkan jika ada mesyuarat atau temujanji penting.

Siang malam beliau berkampung di Baling menguruskan pelbagai perkara bagi memulihkan keadaan  yang terjejas.

Dalam seminggu itu juga beliau tidak pulang ke Alor Setar, hanya balik ke rumahnya di Sik — yang lebih dekat dengan Baling — untuk melelapkan mata sejam dua dan membersihkan diri sebelum turun semula ke lokasi.

Seawal hari kejadian — kira-kira sejam selepas ‘kepala air’ menggempur Kampung Iboi — MB mengarahkan pegawai-pegawai untuk bersiap sedia turun ke lokasi malam itu juga.

Walhal pada malam sebelumnya, MB baru sahaja kembali dari  Pattani, Thailand selepas menghadiri beberapa program rasmi di sana dengan jadual yang padat selama tiga hari.

Esoknya, beliau bermesyuarat sedari pagi hingga lewat petang.

Namun apabila dimaklumkan hal tragedi di Kampung Iboi, beliau sedar akan keperluan untuk segera bersama dengan mereka yang terjejas.

MB tiba di pusat taklimat bencana di Bendang Bechah kira-kira jam 9.30 malam. Selepas diberi taklimat, beliau bertemu dengan Abdul Rahman Said, 71, yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam tragedi itu.

Dato’ Seri Sanusi kemudian mengunjungi mangsa-mangsa lain di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Jerai, Kupang sebelum meninjau beberapa lokasi bencana sekitar Kupang.

MB pulang ke Sik menjelang jam dua pagi sebelum kembali semula ke Kupang pagi esoknya.

Pada pagi hari yang sama berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Pejabat Daerah Baling yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Paduka Ammar  Shaikh Mahmood Naim. Dalam mesyuarat itulah diselaraskan  segala operasi bantuan dan kerja pemulihan dengan kehadiran semua agensi yang berkaitan.

Bagaimana Joceline boleh menulis “(Datuk Seri) Abdul Azeez (Abdul Rahim, Ahli Parlimen Baling) has taken charge, moving with amazing speed to mobilise government agencies to help clear the debris, house and feed those affected and even getting the army to put up a truss bridge within days to replace the one swept away.”

Membaca tulisan Joceline, bukan sahaja MB malah SUK juga seperti tiada fungsi dalam menguruskan operasi selepas tragedi ini walhal di peringkat negeri, SUK adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana manakala Pegawai Daerah mengetuai operasi di peringkat daerah.

Namun bagi Joceline sebagaimana yang dizahirkan menerusi tulisannya, Azeezlah segala-galanya. Tanpa Azeez, situasi mungkin akan lebih teruk berlipat kali ganda. Lihatlah apa yang ditulisnya: “He (Azeez) is exactly the type of YB people need in a catastrophe.”

Sepanjang mengikuti program MB di Baling pasca tragedi, hanya sekali saya terserempak dengan Azeez ketika di pusat taklimat Bendang Bechah. Itupun dia kelihatan tergesa-gesa meninggalkan tempat itu sejurus sebelum ketibaan MB — seolah-olah mahu mengelak daripada bertembung (dengan MB).

Sebagai YB ‘yang diperlukan rakyat ketika malapetaka’ — sebagaimana dia disifatkan oleh Joceline — Azeez seharusnya tahu dengan siapa dia perlu berurusan untuk bersama-sama menangani keperluan mangsa — bukan berlalu dalam keadaan terburu-buru dan kemudian mengeluarkan kenyataan mendesak Kerajaan Negeri menghentikan ladang Musang King.

Ironinya, dua tahun sebelum Azeez membuat kenyataan itu, MB sendiri sudah pun mengarahkan projek ladang durian itu dihentikan. Arahan MB dikeluarkan pada  Julai 2020 dan menurut Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, projek itu telah dihentikan sepenuhnya pada Disember 2020.

Amat mendukacitakan apabila wartawan berpengalaman seperti Joceline begitu bias dalam tulisannya termasuk ketika memetik  anggota Exco, Datuk Suraya Yaacob yang menurutnya telah menyifatkan “MB sebagai seorang yang berbeza selepas bencana (di Baling) itu.”

Apa yang berbeza?

Saya sendiri tertanya-tanya.  Sebagai pegawai, saya tidak dapat mengesan perbezaan yang disebutkan.

MB pada pengamatan saya masih seperti biasa —  bersungguh-sungguh menangani krisis, bertegas pada perkara yang perlu, prihatin dengan nasib mangsa namun dalam masa yang sama, beliau tidak pula dilihat tertekan.

Hanya pada petang 14 Julai,  MB sebak ketika berucap di majlis penyampaian bantuan wang ehsan kepada mangsa bencana. Beliau sekali lagi sebak ketika sidang media mengenang penanggungan mangsa terutama yang kehilangan anggota keluarga.

Di majlis yang sama, Dato’ Seri Sanusi turut menzahirkan jiwa besar beliau sebagai pemimpin apabila meminta maaf — yang disebutnya berkali-kali — atas apa yang telah berlaku.

“Saya nak  minta maaf kepada semua yang terlibat. Sebagai ketua kerajaan, saya  bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Kedah,”katanya.

Menurut MB, permintaan maaf itu bukan bermakna beliau telah melakukan kesalahan namun ia dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada rakyat, terutama mangsa dan keluarga mereka.

Beliau sekali lagi menunjukkan berjiwa besar apabila berkata: “Tidak ada kerajaan atau pemimpin yang melakukan sesuatu perkara dengan tujuan untuk mencetuskan bencana atau memusnahkan kehidupan rakyat. Bukan saya, dan bukan juga MB-MB sebelum saya.

Saya tetap berpegang apa yang berlaku ini adalah bencana. Dan kalaupun ada sebab daripada tangan manusia, itu bukanlah punca secara langsung. Mungkin ada faktor-faktor lain yang mempengaruhi keadaan. Jadi kalaulah sebab-sebab yang tidak langsung itu jadi punca pada kejadian ini, saya minta maaf bagi pihak kerajaan, dan pemimpin-pemimpin sebelum saya,” ucapnya dalam nada sebak di hadapan mangsa dalam pertemuan di Pejabat Daerah Baling petang itu.

Inilah pemimpin yang cuba digambarkan oleh Joceline melalui tulisannya sebagai MB yang sedang menghadapi tekanan, sedang ‘goyang’  dan bersiap sedia untuk keluar dari pejabat dalam keadaan terpaksa.

Penulis itu juga cuba mengaitkan kedudukan Dato’ Seri Sanusi dengan spekulasi ‘kepulangan’ Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ke Kedah.

Memang benar Datuk Seri Takiyuddin mempunyai akar keluarga di Sik — yang juga adalah kawasan Dato’ Seri Sanusi — namun adalah  semberono untuk membuat telahan bahawa banyaknya program Datuk Seri Takiyuddin di Sik sebagai gambaran beliau akan menggantikan Dato’ Seri Sanusi sebagai MB Kedah selepas pilihan raya akan datang.

Apa salah, silap atau gagalnya Dato’ Seri Sanusi sebagai MB untuk beliau digantikan?

Lonjakan angka pelaburan yang luar biasa dalam tempoh singkat,  penerimaan rakyat yang semakin meningkat dan kedudukan parti juga semakin kuat — apakah itu bukan KPI yang jelas dan terang?

Begitu jelek penilaian penulis ini apabila beliau turut mengungkit Dato’ Seri Sanusi telah secara ‘coincidence’ dilantik sebagai MB apabila Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Ahmad Yahaya tewas dalam PRU14.

Joceline persis sengaja mahu melagakan Dato’ Seri Sanusi dengan semua pemimpin-pemimpin yang disebutkan — daripada UMNO mahupun sesama PAS.

Dato’ Seri Sanusi pernah beberapa kali menyebut bahawa dalam kerajaan, beliau dan anggota Exco seperti  ‘terlupa’ bahawa mereka mewakili parti yang berbeza disebabkan permuafakatan yang mantap dan hubungan yang akrab.

Dato’ Suraya, satu-satunya wakil UMNO/ BN disifatkan MB  sebagai antara anggota kerajaan yang berprestasi cemerlang.

Joceline Tan seorang wartawan yang mempunyai reputasi. Harapnya, janganlah dia cemari nama baiknya dengan menulis khabar angin atau bersumber sepihak terutama daripada ahli politik yang mahu ‘menangguk di air keruh’. – HARAKAHDAILY






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo