NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU Antigangguan Seksual dibentang, dibahas di Dewan Rakyat

Rina berkata Akta AGS 2021 memperuntukkan kuasa tribunal yang ditubuh antaranya membuat suatu award termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dibentang untuk bacaan kali kedua dan dibahas oleh Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Rang undang-undang itu adalah suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata Akta AGS 2021 memperuntukkan kuasa tribunal yang ditubuh antaranya membuat suatu award termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.
Tribunal juga boleh memerintah responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu.
Rina berkata sebarang award yang diperintahkan oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual disifatkan sebagai suatu perintah mahkamah dan ketidakpatuhan apa-apa award yang dibuat oleh tribunal boleh dikenakan penalti jenayah.
Beliau berkata selain itu terdapat peruntukan bahawa semua pendengaran di hadapan tribunal hendaklah tertutup kepada orang awam.
Rina berkata hasil soal selidik awam yang dijalankan dari 1 Jan hingga 15 Julai tahun ini berhubung rang undang-undang itu mendapati lebih daripada 87 peratus responden bersedia untuk melaporkan kes gangguan seksual kepada tribunal di masa hadapan.
Ini berbeza dengan hasil soal selidik pada tahun 2019 yang menunjukkan majoriti 93.7 peratus responden memilih untuk tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana takut atau malu untuk melaporkannya.
Hannah Yeoh (PH-Segambut) ketika membahaskan rang undang-undang itu mencadangkan agar dimasukkan garis panduan kepada laporan media supaya maklumat pengadu tidak didedahkan terutama melibatkan pengadu yang berusia muda.
"Peruntukan untuk memberikan kaunseling kepada mangsa juga perlu disediakan agar mereka yang terjejas dari segi emosi boleh memulihkan semangat mereka," katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo