NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GRS tiada bantahan bentang rang undang-undang antilompat parti di DUN - Masidi

Masidi Manjun juga berkata rang undang-undang tersebut mampu mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan adalah sesuatu yang baik untuk politik Sabah. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiada bantahan terhadap pembentangan rang undang-undang anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata bagaimanapun, pemimpin parti komponen GRS perlu membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut dan yakin pembentangan rang undang-undang tersebut di DUN Sabah boleh direalisasikan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu juga berkata rang undang-undang tersebut mampu mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan adalah sesuatu yang baik untuk politik Sabah.
"Persoalannya ialah bila, adakah kita perlu mengadakan sidang khas untuk membahaskan rang undang-undang itu atau mungkin kita ingin pertimbang pelulusannya semasa sesi belanjawan yang dijadualkan sama ada pada November atau Disember...
"Bagaimanapun, saya tidak begitu pasti kerana saya bukan Speaker (DUN Sabah), saya tidak boleh memutuskan agenda mana yang perlu diputuskan (dalam sidang DUN) namun apa yang ingin saya katakan ialah kami tiada bantahan terhadap pembentangan rang undang-undang itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri serta pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Padang Merdeka di sini yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Khamis lepas, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi mewujudkan larangan Ahli Parlimen bertukar parti menerima sokongan lebih dua pertiga dengan 209 daripada 220 Ahli Dewan Rakyat menyokong.
Pada hari sama, Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata adalah penting bagi DUN Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan undang-undang anti lompat parti kerana pindaan itu tidak terpakai kepada kedua-dua DUN.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda perlembagaan masing-masing bagi membolehkan pindaan itu dikuatkuasakan di peringkat negeri.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo