NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok boleh dianggap langgar kebebasan peribadi - Pakar Perlembagaan

Bantahan utama terhadap inisiatif negara berkaitan perkara ini ialah undang-undang akan sukar dikuatkuasakan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok boleh dianggap melanggar kebebasan peribadi yang dijamin oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, ujar Pakar Perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi.
Jelasnya, berdasarkan peruntukan itu, tiada seorang boleh dilucutkan nyawanya atau kebebasan peribadinya kecuali menurut undang-undang.
"Apa yang dikemukakan, tiada hak asasi untuk mencederakan diri sendiri, membahayakan orang lain melalui asap rokok, menyebabkan kemudaratan kepada kepentingan awam melalui banyak kesan berbahaya daripada merokok dan menjaja produk merokok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ketagihan nikotin tidak dapat dibezakan dengan ketagihan kepada ubat-ubatan lain dan jika negara boleh mengharamkan atau mengawal dadah lain, ia juga boleh mengawal nikotin.
Justeru, bantahan utama terhadap inisiatif negara berkaitan perkara ini ialah undang-undang akan sukar dikuatkuasakan.
"Namun, cabaran bagi setiap penguatkuasaan mengiringi semua undang-undang. Perkara 5(1) tidak memberikan hak mutlak untuk kebebasan.
"Kebebasan boleh dilucutkan tetapi hanya mengikut undang-undang. Selagi ada undang-undang yang sah, dan eksekutif bertindak di bawahnya, tidak ada pelanggaran Perlembagaan terhadap kebebasan diri.
"Berdasarkan keputusan kes Alma Nudo Atenza oleh Mahkamah Persekutuan pada 2019, undang-undang yang melucutkan kebebasan seseorang mestilah tidak seimbang. Apa yang tidak seimbang ialah mahkamah yang menentukan. Adalah dikemukakan bahawa RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok adalah tidak munasabah atau tidak seimbang," tambahnya lagi.
Beliau pada masa sama, membangkitkan persoalan jika RUU berkenaan turut mewujudkan diskriminasi terhadap golongan muda.
"RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok melarang penggunaan alat merokok oleh mana-mana orang yang dilahirkan dari tahun 2007 dan seterusnya.
"Undang-undang bertujuan melindungi golongan muda (iaitu 16 tahun pada penghujung 2022) daripada menjadi mangsa kesan berbahaya daripada merokok. Orang yang lahir sebelum 2007 tidak terjejas oleh undang-undang.
"Adakah ini kes diskriminasi tidak berperlembagaan terhadap golongan muda?," soalnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai kesaksamaan tidak mewajibkan semua orang mesti dilayan sama.
"Tun Suffian dalam PP lawan Khong Teng Khen (1976) dan dalam Datuk Haji Harun bin Haji Idris lwn PP (1977) menyatakan bahawa “prinsip yang mendasari Perkara 8 ialah undang-undang mesti dilaksanakan sama ke atas semua orang dalam keadaan yang sama, bukan semata-mata ia mesti dilaksanakan sama pada semua orang dalam apa jua keadaan," ujarnya.
Justeru, negara katanya memang mempunyai kuasa untuk membezakan dan mengklasifikasikan orang.
Walau bagaimanapun, pengelasan mestilah rasional dan munasabah dan mesti mempunyai hubungan rasional dengan perkara yang ingin dicapai.
Selain itu, katanya, umur adalah faktor yang dibenarkan untuk mengklasifikasikan orang ke dalam kategori yang berbeza.
"Kita mempunyai undang-undang mengenai umur majoriti, kelayakan untuk mengundi, hak untuk bertanding dalam pilihan raya, umur perkahwinan, umur untuk kebenaran melakukan hubungan seks, umur yang tiada liabiliti jenayah dan prosedur mahkamah khas untuk juvana.
"Umur adalah kriteria yang dibenarkan, rasional dan perlu untuk klasifikasi dalam beberapa undang-undang. Klasifikasi tersebut mempunyai hubungan yang munasabah dengan undang-undang," ujarnya.
Kata beliau, pengkategorian penduduk yang dicadangkan kepada "sebelum 2007" dan "selepas 2007" adalah berdasarkan asas yang rasional dan munasabah dan disokong oleh bukti perubatan yang kukuh.
"Klasifikasi tersebut mempunyai hubungan yang munasabah dengan undang-undang," tambahnya.
Justeru, secara keseluruhannya, undang-undang berkenaan telah berusaha untuk menghapuskan penyakit disebabkan rokok dan melakukannya secara beransur-ansur.
Namun cabaran utama ialah penguatkuasaan, bukan Perlembagaan.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo