NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Campur minyak masak subsidi dengan 'minyak sembahyang' untuk kaut untung

Dalam serbuan itu, sebanyak 1,564 kg minyak masak bersubsidi dan sebuah lori disita untuk tindakan lanjut. - Gambar/ Astro AWANI

BUTTERWORTH: Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai menyeleweng minyak masak bersubsidi dengan mencampurkannya dengan 'minyak sembahyang' untuk dijual pada harga lebih tinggi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A Mogan, berkata suspek berusia 50-an ditahan ketika serbuan di rumah teres di Taman Seri Murni, Sungai Dua, di sini, tengah hari tadi.
"Ketika serbuan dilakukan, lelaki terbabit sedang memotong plastik ‘polybag’ mengandungi minyak masak bersubsidi di atas sebuah lori dan memindahkannya ke dalam tong dipercayai untuk kegunaan industri.
"Pemeriksaan atas lori telah menemui sebanyak 272 kilogram (kg) minyak masak polybag bersubsidi serta 952 kg minyak masak bersubsidi yang telahpun dimasukkan ke dalam tong industri berwarna kuning.
"Pemeriksaan lanjut di rumah teres di tempat lori diletakkan pula menemui 340 kg minyak masak polybag bersubsidi yang disimpan di satu ruangan di rumah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan serbuan susulan Operasi Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek dipercayai mencampurkan minyak masak bersubsidi dengan minyak untuk tujuan sembahyang itu bagi membolehkannya dijual pada harga sekitar RM6 hingga RM8 sekilogram.
"Pemeriksaan lanjut mendapati individu yang ditahan mempunyai lesen borong kawalan dengan kebenaran untuk beliau mengambil minyak masak daripada pembungkus minyak masak dan dihantar kepada pelanggan namun individu ini telah menyalahgunakan lesen tersebut untuk mendapatkan bekalan dan menyeleweng barang kawalan serta mengedar untuk kegunaan industri," katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 1,564 kg minyak masak bersubsidi dan sebuah lori disita untuk tindakan lanjut yang mana nilai rampasan keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM108,960.
Mogan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFAPUAA) 2001.
Katanya, pihaknya juga akan memohon lesen borong kawalan yang diberikan kepada suspek dibatalkan.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo