NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia, Indonesia perlu bersama perjuangkan bahasa Melayu

Rais menyampaikan syarahan khas pada sidang Meja Bulat Program Pengembangan Bahasa Melayu di IPT Negara ASEAN sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu malam ini. NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia harus bersekutu dalam memperjuangkan bahasa Melayu bukan saja di ASEAN, malah pada peringkat antarabangsa. 

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata bagi menjayakan usaha itu, Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia perlu bersama kerana kedua-dua negara adalah serumpun.

"Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di ASEAN bermula pada 1987, ketika itu saya sebagai Menteri Luar dan Menteri Luar Indonesia meminta supaya satu polemik besar dalam kalangan pemimpin ASEAN berhujah bagi memasukkan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu ke dalam urusan rasmi. 

"Malangnya, ia tidak dapat direalisasikan. Terkini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu kembali menghidupkan kembali usaha ini untuk dijadikan sebagai bahasa ASEAN kedua. Bukan mudah, tetapi perlu dicari jalan sebagai serumpun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan pada persidangan Meja Bulat Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara ASEAN sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa di sini, malam ini. 

Rais berkata, usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di ASEAN menimbulkan polemik antara Malaysia dan Indonesia, mungkin disebabkan kurangnya hubungan akrab.

"Dengan erti perkataan lain, generasi pemimpin di Malaysia dan Indonesia, simbiotik antara mereka sudah berkurangan, sebab itu ada jawab menjawab. Dulu tidak ada begitu, kita rapat tetapi sekarang sudah tidak ada. 

"Jadi, satu acara atau program untuk melunakkan hubungan antara pemimpin mesti diadakan. Jika tidak perkara ini tidak ada kesudahan," katanya

Rais turut mencadangkan Perkara 34 Perlembagaan ASEAN berhubung bahasa dipinda. 

"Perkara 34 menyatakan 'the working language for ASEAN is English. Justeru, kita mesti menerusi Wisma Putra dan diplomasi ASEAN, kalau boleh cuba meminda perkara ini dengan memasukkan bahasa Melayu ke dalamnya," katanya. 

Menyentuh isu pendidikan, Rais berkata, bahasa Melayu perlu diajar dengan berstruktur dan terindah terutama dalam penulisan. 

"Sebagai contoh, ajar kepada anak kita mengenai prosa, pantun, bagaimana berbahasa di istana, berbahasa dalam kalangan kita, bahasa mendaki, menurun dan melereng. 

"Sebab itu berbanding bahasa Mandarin, bahasanya konsisten, anak Tiong Hua semat bahasa itu di dada mereka," katanya.


Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo