NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seramai 209 pengendali makanan bazar Ramadan di Kedah tiada suntikan antitifoid


ALOR SETAR: Seramai 209 daripada 2,132 pengendali makanan di 1,325 premis bazar Ramadan seluruh negeri ini, didapati tidak mengambil suntikan antitifoid.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo, berkata hasil operasi pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati seramai 269 pengendali makanan tidak menghadiri latihan pengendali makanan.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu menurun berbanding tahun lalu, apabila seramai 417 daripada 4,171 pengendali makanan di 2,294 premis bazar Ramadan dikesan tidak mengambil suntikan anti tifoid dan 775 tidak hadir latihan pengendali makanan.

"Oleh itu, sebanyak 19 notis mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 terpaksa dikeluarkan ke atas pemilik dan pengendali makanan yang tidak patuh peraturan ditetapkan.

"Kesemua pengendali makanan terbabit turut diberi pendidikan kesihatan berkaitan kebersihan dan pengendalian makanan dan minuman bagi mengelak keracunan makanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Othman berkata, pihaknya memandang serius isu keracunan makanan yang berlaku di premis makanan, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang kes dilaporkan berpunca daripada premis bazar Ramadan.

Katanya, untuk memastikan makanan dan minuman yang dijual di bazar Ramadan adalah bersih dan selamat untuk dimakan, pihaknya turut melakukan pensampelan makanan.

"Setakat ini, sejumlah 38 sampel makanan sudah diambil dan masih menunggu keputusan makmal.

"Tahun lalu, sejumlah 42 sampel makanan diambil dan didapati satu daripadanya dikesan mengandungi bakteria Coliform," katanya.

Beliau turut menegaskan, peniaga bazar Ramadan bertanggungjawab memastikan premis makanan mereka bersih sepanjang masa dengan pelanggan pula perlu memilih premis makanan yang bersih.

"Pelanggan dinasihat agar tidak menyimpan makanan mudah rosak sehingga waktu sahur seperti hidangan kerabu dan makanan berasaskan santan.

"Bagi makanan yang disimpan di dalam peti sejuk, pastikan makanan dipanaskan sempurna sebelum dihidangkan. Mereka yang mempunyai simptom seperti loya, muntah, cirit birit atau sakit perut perlu segera ke klinik atau hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo