NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Undang-undang antilompat parti Pulau Pinang ke Mahkamah Persekutuan

Empat ADUN Pulau Pinang mencabar usul yang diperkenal pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan. Gambar hiasan Istana Kehakiman. - Foto NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

PUTRAJAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speakernya dibenarkan merujuk ke Mahkamah Persekutuan, bagi memutuskan keperlembagaan undang-undang antilompat parti negeri itu.

DUN dan Speakernya mahu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak sah kerana tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Azizan Md Arshad semalam membenarkan permohonan rujukan yang dikemuka DUN dan speakernya mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau memberi kebenaran kepada pemohon untuk merujuk persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, selepas memutuskan mereka sudah memenuhi syarat asas di bawah Seksyen 84.

DUN Pulau Pinang dan Speaker, Datuk Law Choo Kiang mahu persoalan Perlembagaan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atas dasar keputusan berhubung perkara dalam kes Nordin Salleh melawan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang sudah diputuskan pada 1992, perlu dihujahkan lagi.

Dalam penghakimannya, Azizan berkata, dalam kes Abdul Karim Abdul Ghani melawan Badan Perundangan Sabah yang membabitkan isu kehilangan kelayakan ahli DUN mengikut Perkara 74(4) Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, ini disebabkan hujah DUN dan Speaker berdasarkan kuasa negeri untuk menggubal undang-undang mengenai kelayakan ahli DUN.

Empat ADUN, iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan Speakernya, untuk mencabar usul yang diperkenal pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020, manakala Khaliq dan Zolkifly ahli BERSATU.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika sudah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

DUN dan Speakernya yang diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan itu ke Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

ADUN itu diwakili peguam DP Naban dan Rosli Dahlan.

Pembentangan usul supaya keempat-empat mereka mengosongkan kerusi mereka ditangguhkan sementara menunggu selesai saman mereka. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo