NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rebah pada rakaat akhir tarawih




BALING: "Sepanjang Ramadan, inilah kali pertama suami tergerak hati berbuka puasa di masjid, tak sangka dia akan dijemput Ilahi ketika solat tarawih di masjid itu," kata Rohani Mohd Noor, 51.

Rohani adalah isteri kepada Zamri Saad, 51, yang meninggal dunia ketika menunaikan solat terawih berjemaah di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai, di sini semalam.

Ibu kepada tujuh anak ini berkata suaminya Zamri Saad, 51, sebelum itu ada mengajaknya untuk solat tarawih di masjid namun dia menolak kerana mahu solat di surau berhampiran rumah mereka.

Katanya, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali anak-anaknya mula perasan bapa mereka agak pendiam sejak akhir-akhir ini.

"Kira-kira pada jam 10 malam, abang ipar datang beritahu suami saya jatuh dan pengsan ketika solat.

"Saya terus mengajak anak kedua Nazirol, 20, ke masjid, anak saya masuk dahulu ke dalam masjid dan keluar semula beritahu bapanya sudah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan.

Rohani berkata suaminya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan pernah dimasukkan ke Hospital Taiping tiga tahun lalu akibat penyakit jantung.

"Suami saya sekarang sudah tidak bekerja kerana bimbang dengan keadaan kesihatannya, dia juga seorang suami yang sangat pentingkan keluarga.

"Anak-anak juga sudah membeli baju raya warna sedondon namun dia pergi dahulu, apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya.

Ketika ditanya mengenai amalan suaminya, Rohani memberitahu sepanjang Ramadan setiap tahun arwah sentiasa bangun malam menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat lain sehinggalah sampai waktu sahur .

Penduduk kampung, Hashim Osman, 51, berkata, arwah Zamri rebah ketika solat pada rakaat ke-20 sebelum disahkan meninggal dunia dalam masjid itu.

Katanya, ketika berbuka puasa arwah beritahu dia tidak boleh makan kurma kambing tetapi minta kebenaran untuk bawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anak makan.

"Sebelum itu pada sebelah petang sebelum kejadian, arwah ada mengadu pada jemaah lain, dia sakit dada.

"Ketika solat arwah berada di barisan kedua di belakang imam, pada rakaat ke-20 sebelum tasyahud akhir, tiba-tiba dia rebah dan kami terdengar bunyi dengkuran yang agak kuat."

"Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu sedang nazak dan kami sempat mengajarnya mengucap syahadah," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo