NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ras Adiba serah memorandum tamat lantikan Syed Azmi pada PM





Senator Ras Adiba Radzi menyerahkan memorandum menggesa perlucutan jawatan aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi sebagai penasihat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Kuala Lumpur dan ahli pemegang amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Berkongsi perkara itu di Instagram hari ini, Ras Adiba yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Negara mengulangi bahawa isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana terdapat "konflik kepentingan".

"Ia adalah konflik kepentingan, kerana Syed Azmi adalah penasihat dan pengasas bersama Rumah Bonda," katanya.

Ras Adiba juga mengalu-alukan pembentukan jawatankuasa kabinet untuk melindungi OKU, warga emas dan kanak-kanak yang akan dipengerusikan Ismail Sabri.

Ras Adiba sebelum ini menyatakan sokongan terbukanya kepada memorandum yang diusahakan sekumpulan aktivis kanak-kanak yang turut memulakan petisyen secara dalam talian mendesak pelucutan jawatan Syed Azmi.

Petisyen itu kini mempunyai lebih 112,000 penandatangan.

Jelas presiden OKU Sentral itu terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan melibatkan Syed Azmi, yang juga merupakan pengasas bersama Rumah Bonda, di mana seorang remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella sebelum ini ditempatkan.

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.




















............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo