NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menang PRN Johor tidak menjaminkan kejayaan PRU15 - Hasni

Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu, bukan jaminan untuk gabungan itu merekod kejayaan sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata ini kerana terdapat pelbagai faktor serta isu berbeza antara PRN dengan PRU, yang menjadi cabaran.

"Kejayaan pada PRN Johor tidak menjamin kejayaan pada PRU15 nanti. Sebagai contoh, isu kenaikan harga barang yang terus meningkat ketika ini, sama ada ia dapat dikawal atau diturunkan menjelang akhir tahun ini.

"Selain itu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini memang dilihat sebagai 'feel good factor' tetapi dalam tempoh empat atau lima bulan akan datang, kita tidak pasti. Jadi, itu antara cabaran yang perlu kita kaji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang diadakan di ibu pejabat UMNO Johor, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Justeru, Hasni berkata, UMNO akan menekankan persiapan menghadapi PRU15 dengan memastikan Ikhtiar BN pada PRN Johor sentiasa dipantau dan ditetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), serta Belanjawan Johor 2022.

Dengan wujudnya KPI dan pemantauan khusus, beliau berkata, ia akan memberi keyakinan terhadap parti untuk lebih bersedia menghadapi cabaran PRU15 nanti.

"Berikutan pelaksanaan Undi18, tinjauan di bahagian akan dijalankan, antaranya Johor Bahru, Tebrau, Pulai, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, sebuah jawatankuasa penyelaras hubungan kerajaan negeri dengan UMNO akan ditubuh bagi memastikan kerjasama lebih strategik antara kedua-dua pihak.

"UMNO sentiasa menyokong kepimpinan kerajaan negeri dan ini dibuat melalui cadangan dikemukakan, termasuk kritikan dan teguran yang diberi.

"Menteri Besar telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk mempertimbang dan mengambil inisiatif memastikan hubungan kerjasama lebih strategik antara parti dengan kerajaan dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai masing-masing empat wakil daripada UMNO Johor dan kerajaan negeri, mungkin daripada kalangan barisan EXCO atau sesiapa yang disyorkan Menteri Besar.

Sumber | BH



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo