NOTIS:

Belum ada lagi....

MOSTI cadang perkenal industri dan teknologi dron dalam silibus STEM

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba bercakap kepada media di Kota Tinggi April 24, 2022. — Gambar Bernama

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bercadang untuk memperkenalkan industri dan teknologi dron dalam silibus pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan lebih ramai pelapis dan penggiat industri itu pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu dalam usaha kerajaan dalam memperkemaskan silibus serta menarik minat ramai terhadap subjek STEM.

"Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan akan membawa memorandum Jemaah Menteri terhadap STEM dan juga penggunaannya (STEM) kepada kerajaan dan di situ, kita (MOSTI) akan memberi ulasan supaya teknologi dron seperti reka bentuk, penggunaan dan juga Artificial Intelligence (AI) dimasukkan dalam (STEM)… seawal-awalnya dalam kurikulum dan kokorikulum sekolah.

"Memorandum dijangka akan dibawa dalam masa terdekat dalam usaha untuk memperkemaskan lagi STEM," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) "Fly with Meraque" di Dewan Majlis Daerah Kota Tinggi, Bandar Tenggara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang berkerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh, dengan memulakan pengenalan teknologi dron itu menerusi kokorikulum di peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi dan institut kemahiran di Johor.

"Dengan adanya minat dan usaha untuk membangunkan industri dron ini, ia melibatkan penggunaannya dalam pelbagai sektor terutamanya industri 4.0 (IR 4.0) yang melibatkan AI dalam dron itu sendiri. Jadi, ini peluang untuk kita mencipta pekerja, peluang untuk kita mendapatkan masyarakat untuk menaikkan taraf hidup menerusi teknologi.. inilah yang kita nak lakukan," kata beliau.

Pada majlis itu Dr Adham turut menyampaikan dua set dron kepada tiga sekolah angkat untuk program berkenaan selain turut melancarkan dan Modul Pengenalan Teknologi Dron.

Mengenai program hari ini, beliau berkata program CSR yang dilaksanakan dengan bantuan syarikat teknologi dron - Meraque Services Sdn Bhd melibatkan tajaan pemberian dron bagi tujuan pembelajaran serta modul asas kesedaran dron kepada tiga sekolah di Johor.

Program berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 600 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin dan SMK Seri Pinang di sini dan SMK Taman Scientex di Pasir Gudang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Meraque Service Md Razalee Ismail berkata dengan program CSR itu, ia secara tidak langsung menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam industri dron, sekaligus menyokong pembangunan industri itu secara keseluruhan. 

Sumber | BERNAMA


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo