NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesalahan Ke Ting dalam tragedi basikal lajak berjaya dibuktikan - Penghakiman penuh


JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan kerani, Sam Ke Ting, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017, selepas berpuas hati bahawa kesalahan responden berjaya dibuktikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman penuhnya berkata, pihak responden turut didapati gagal mengemukakan pembelaan pada peringkat pendakwaan perbicaraannya.

Beliau berkata, kenyataan tidak bersumpah wanita berusia 27 tahun itu dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya untuk membela diri, adalah penafian kosong semata-mata yang difikirkan kemudian.

"Responden (Ke Ting) dalam pembelaannya menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal mangsa sebelum melarikan diri. Namun, versi ini tidak pernah ditimbulkan responden ketika kes pendakwaan.

"Mahkamah Bicara (Mahkamah Majistret) telah terkhilaf apabila gagal menimbangkan pembelaan responden tidak menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan, khasnya responden yang memandu keretanya secara berbahaya, mengambil kira keadaan jalan yang berselekoh dan berbukit.

"Mahkamah Bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian, sebagai alasan untuk memandu keretanya secara berbahaya sehingga mengorbankan lapan mangsa.

"Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu dengan laju sehingga menyebabkan kemalangan itu. Responden juga sepatutnya menyedari kawasan kemalangan itu, pencahayaannya tidak begitu terang kira-kira jam 3.20 pagi ketika kejadian berlaku, tambahan pula jarak penglihatan ke hadapan agak terhad.

"Sehubungan itu, responden seharusnya sedar ada risiko yang mungkin boleh berlaku jika memandu keretanya melebihi had 50 kilometer sejam sebelum sampai di tempat kemalangan," katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.

Abu Bakar dalam keputusannya terhadap rayuan kes itu, turut memerintahkan Ke Ting menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

Dalam tragedi berdarah kira-kira jam 3.20 pagi 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, lapan remaja berbasikal lajak maut, manakala empat parah dan empat lagi turut cedera dirempuh kereta.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin, 16.

Seterusnya dalam penghakiman penuh itu lagi, Abu Bakar berkata, responden dalam pembelaannya juga gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan.

Sebaliknya, beliau berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu, mahkamah ini mengakaskan (mengetepikan) keputusan Mahkamah Bicara yang melepas dan membebaskan responden di akhir kes pembelaan. Mahkamah ini selanjutnya memutuskan responden adalah bersalah dan disabitkan pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo