NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Klip video tunjuk Yasmin hamba abdi Siti Bainun

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, keluar dari Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini, ditunjukkan beberapa klip video bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, dilayan seperti hamba abdi oleh pengasas rumah kebajikan itu, Siti Bainun Ahd Razali seperti didakwa Yasmin sebelum ini.

Video itu antara lain memaparkan sambutan Aidilfitri dan hari jadi, selain percutian membabitkan Siti Bainun dan dua penghuni rumah kebajikan berkenaan, remaja Sindrom Down dikenali Bella serta Yasmin yang juga saksi pendakwaan kelima.

Yasmin kemudian mengesahkan kejadian dalam video itu selepas disoal peguam Siti Bainun, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor.

Mengulas mengenai video Aidilfitri pada 22 Mei 2021, Nur Aminahtul Mardiah bertanyakan sama ada siapa yang Bella peluk paling lama dan Yasmin menjawab Siti Bainun.

Yasmin juga menjawab 'ya' ketika ditanya Bella tidak takut dan peluk penderanya paling kuat.

Sementara itu, Nur Aminahtul Mardiah menyenaraikan 10 keterangan Yasmin yang berunsur penipuan.

Penipuan itu termasuk kononnya Bella asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemah selepas sering didera, sebaliknya klip video dipaparkan hari ini menunjukkan remaja itu berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, Yasmin menafikan keterangan diberikan itu adalah palsu.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Rabu depan.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo