NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Industri mohon masa bersiap patuhi perintah peranti rokok elektronik


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta mempertimbang semula tarikh penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 yang ditetapkan bermula 3 Ogos ini.

Penggiat industri rokok elektronik atau e-rokok serta vape di negara ini memohon demikian bagi membolehkan pengusaha membuat persiapan dengan lengkap dan menyeluruh bagi mematuhi perintah yang diwartakan semalam itu.

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Mohammad Nazeem Talib, berkata peraturan yang mahu ditetapkan perlu diperhalusi dan dikemas kini dari semasa ke semasa kerana teknologi dalam industri berkenaan sentiasa berubah dengan cepat.

"Kami mohon kerajaan melalui KPDNHEP agar memperhalusi dan mengemas kini (peraturan berkaitan rokok elektronik, vape) setiap masa disebabkan teknologi dalam sektor pembuatan 'vape device' ini terlalu cepat berubah," katanya kepada BH, hari ini.

Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 diwartakan semalam bagi memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dalam perintah itu.

KPDNHEP memaklumkan, perintah itu yang akan berkuat kuasa pada 3 Ogos ini, mewajibkan pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik atau 'vape device' membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku pihak berkuasa yang berwibawa dilantik kementerian.

KPDNHEP memberitahu penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti agar mudah dilihat oleh pengguna sebagai tanda ia mematuhi standard serta selamat digunakan.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport. Jika sabit kesalahan, antaranya boleh didenda sehingga RM200,000 bagi syarikat, manakala individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

KPDNHEP menjelaskan, ia inisiatif kerajaan prihatin bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna, sekali gus berharap berharap isu lambakan peranti rokok elektronik tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport.

Mohammad Nazeem yang mengalu-alukan langkah pewartaan berkenaan, berkata ia bagi memastikan semua peranti rokok elektronik selamat digunakan pengguna.

"MEVTA bersetuju apa yang diwartakan kerana turut terbabit membuat standard keselamatan bersama KPDNHEP, Jabatan Standard Malaysia dan SIRIM. Ia juga langkah tepat bagi membantu jutaan individu berhenti merokok dengan beralih secara sementara kepada vape dan e-rokok," katanya.

Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (MOVE), Samsul Kamal Ariffin juga mengalu-alukan perwartaan perintah berkenaan kerana ia menjurus kepada keselamatan ketika mengendali dan menggunakan peranti rokok elektronik.

"Ia jelas sekali akan memberi impak positif, dapat membuatkan pengguna rokok elektronik dan vape berasa selamat dengan garis panduan dikeluarkan KPDNHEP. Bagaimanapun, ia perlu diselia dengan penguatkuasaan tegas memandangkan ada sesetengah pengusaha ambil mudah melariskan jualan tanpa mengikut garis panduan ditetapkan.

"Hukuman berat jelas diwartakan dalam perintah yang diwartakan semalam dan ini boleh mendorong pengguna untuk menggunakan vape dengan rasa selamat," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo