NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dagangan Bursa Malaysia berakhir kukuh

Pelabur memantau pergerakan harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan sokongan belian kukuh dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui saham perladangan dan perbankan.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.93 mata kepada 1,604.72 berbanding paras penutup 1,596.79 pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 0.67 mata kepada 1,596.12 dan bergerak antara paras 1,595.19 dan 1,605.50 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 601 berbanding 435, manakala 405 kaunter tidak berubah, 795 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.43 bilion unit bernilai RM2.47 bilion daripada 3.87 bilion unit bernilai RM2.37 bilion pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, Bursa Malaysia kekal positif sepanjang hari menongkah arus berbanding prestasi lemah dalam kalangan bursa serantau lain.

"Pasaran utama Asia dipengaruhi oleh prestasi lemah di Wall Street selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengambil pendekatan lebih agresif bagi mengetatkan lagi dasar monetarinya untuk menangani peningkatan inflasi di tengah-tengah konflik Rusia dan Ukraine yang masih berlarutan.

"Sementara itu, pembukaan semula sempadan dan harga komoditi tinggi membantu menyokong pemulihan ekonomi Malaysia," katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI diniagakan tinggi hari ini apabila aktiviti membeli saham berharga rendah muncul selepas dua hari mencatatkan jualan dengan minat belian dilihat kebanyakannya dalam saham wajaran tinggi perladangan, minyak dan gas dan perbankan.

"Jika FBM KLCI dapat kekal di atas paras 1,600 bagi tempoh yang lebih lama, prospek indeks petunjuk pasaran itu akan menjadi positif dalam tempoh jangka sederhana.

"Kami percaya indeks petunjuk pasaran itu akan kekal dalam fasa penstabilan buat masa ini berikutan sentimen berhati-hati walaupun aktiviti belian asing dan membeli saham berharga rendah dijangka muncul.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,590-1.610 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.87 peratus kepada 22,080.52, Nikkei 225 Jepun jatuh 1.58 peratus kepada 27,350.30, Indeks Straits Times Singapura susut 0.64 peratus kepada 3,422.93 dan Kospi Korea Selatan berkurangan 0.88 peratus kepada 2,735.03.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank meningkat tiga sen kepada RM8.89, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.71, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare naik 14 sen setiap satu masing-masing kepada RM9.99 dan RM6.39, manakala CIMB Group menokok empat sen kepada RM5.31.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang Nexchange susut satu sen kepada RM1.10, Vizione naik setengah sen kepada enam sen, MyEG menokok satu sen kepada RM1.03 manakala Techna-X dan AT Systematization tidak berubah masing-masing kepada 8.5 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 melonjak 52.55 mata kepada 11,201.61, Indeks FBM Emas menokok 56.42 mata kepada 11,550.04, Indeks FBM Emas Shariah menambah 59.43 mata kepada 12,199.41, FBM 70 naik 54.63 mata kepada 14,081.65 dan FBM ACE meningkat 5.76 mata kepada 5,870.28.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.83 mata kepada 211.63, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 75.79 mata kepada 16,795.75 dan Indeks Perladangan naik 144.27 mata kepada 8,317.54.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.30 bilion saham bernilai RM2.17 bilion berbanding 2.85 bilion saham bernilai RM2.11 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 378.19 juta unit bernilai RM65.38 juta berbanding 132.61 juta unit bernilai RM13.61 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 745.34 juta saham bernilai RM227.69 juta berbanding 884.44 juta saham bernilai RM237.34 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 334.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (580.58 bilion), pembinaan (204.06 juta), teknologi (365.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (102.91 juta), hartanah (237.24 juta), perladangan (66.36 juta), REITs (7.90 juta), dana tertutup (600), tenaga (245.88 juta), penjagaan kesihatan (59.56 juta), telekomunikasi dan media (25.52 juta), pengangkutan dan logistik (43.64 juta) dan utiliti (24.65 juta).

-BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo