NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calonkan Ismail Sabri sebagai PM tanda BN sedia cemerlang semula


KUALA LUMPUR: Pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) menganggap keputusan menetapkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah langkah terbaik untuk mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu menandakan parti komponen sebulat suara dengan hasil perbincangan sekian lama, selain sudah membuat analisis kepimpinannya sebagai suatu kepimpinan menyerlah.

"Kami sudah berbincang sekian lama serta membuat analisis bahawa kepimpinan Ismail Sabri adalah menyerlah, sebab itu asas keputusan dibuat.

"Saya menyokong keputusan politik ini dan pada masa sama kerajaan dapat diperkukuhkan. Apa yang penting ia mengembalikan kegemilangan BN seperti sedia kala," katanya yang pada majlis berbuka puasa anjuran Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang diedarkan memaklumkan, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Ka Siong menyifatkan, keputusan itu menunjukkan kesungguhan UMNO dan BN untuk menawan semula dalam PRU-15.

"Saya yakin dengan sokongan rakyat momentumnya dapat dikekalkan dan kita dapat melakukan terbaik untuk mencapai satu keputusan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata UMNO berterima kasih Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana sudah memberi usul (endorsement) dan membawa perkara itu kepada MKT.

"MKT sebulat suara bersetuju dengan usul terbabit dan ini membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa UMNO adalah satu pasukan dan perkara yang utama kepada semua individu yang ada dalam UMNO ini melihat keutamaan parti politik, parti UMNO itu sendiri. Jadi semua orang menyokong," katanya.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, cadangan mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, tidak memberi jaminan kerana hal sama pernah berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membabitkan Datuk Seri Hasni Mohammad.

"Menamakan Ismail Sabri sebagai calon tidak memberikan jaminan. Lihat 'poster boy' di Johor dulu, apa yang berlaku. Apa-apapun kita doa yang terbaik.

"Kita tidak mahu bersangka buruk, kalau itu keputusan dan tujuannya baik, akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk terus menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.

Dalam pada itu Tajuddin berkata apa jua kemungkinan boleh berlaku disebabkan politik dan ada individu lain bercita-cita tinggi dan berhajat menjadi Perdana Menteri.

"Saya ada mempersoalkan dalam mesyuarat MKT, bahawa ia tiada jaminan. Saya menyokong kuat Ismail Sabri sejak dari mula," katanya.

Ditanya jika bukan Ismail Sabri, beliau mengatakan sesiapa sahaja kerana ramai orang berharap dan bercita-cita tinggi.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo