NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rusia kerah tentera masuki Ukraine, apa kesan kepada kita?

TERKINI sebentar tadi dunia digegarkan dengan tindakan Presiden Rusia mengisytihar kemerdekaan dua wilayah Ukraine iaitu Donetsk dan Luhansk. Bala tentera Rusia juga dikerah memasuki kedua-dua wilayah Ukraine itu atas nama ‘tentera pengaman’. 

Lebih membimbangkan kita, Amerika, Jerman, Perancis, dan Ukraine berikrar akan bertindak balas, Majlis Keselamatan PBB pula akan bersidang segera, mengisyaratkan perkara yang lebih besar boleh terjadi. Apa impak perkembangan ini kepada ekonomi politik antarabangsa dan rakyat Malaysia?

Rusia ialah pengeluar minyak kedua terbesar dunia dengan syarikat Rosneft yang cukup terkenal, di samping juga pengeluar gas asli yang utama. Paling terkenal syarikat Gazprom yang menaja kejohanan bola sepak terkemuka dunia, UEFA Champions League. 

Tidak menghairankan, harga minyak dunia yang sudah pun mencecah rekod tertinggi dalam tempoh tujuh tahun – sejak krisis Crimea yang mengorbankan para penumpang dan pesawat MH17 kita pada 2014 lalu – melebihi USD90 per tong dijangka akan memecah USD100 per tong. 

Rekod harga minyak akan berterusan melonjak melebihi USD100 sekiranya berlaku peningkatan pertembungan ketenteraan antara Rusia serta pemisah Donetsk dan Luhansk dengan Ukraine yang disokong kuasa Barat melalui bantuan NATO. 

Selain merupakan negara utama dalam sektor tenaga yang menggerakkan dunia, Rusia juga merupakan pengeksport utama bijirin seperti gandum. Begitu juga dengan Ukraine yang turut merupakan antara negara pengeluar gandum yang utama. Maka sebarang gangguan pengeluaran dan pengangkutan di wilayah Laut Hitam ini bakal memberi impak kepada harga makanan.

Pada dasarnya, percaturan terbaru Presiden Vladimir Putin ini cukup bijak untuk kepentingan nasional Rusia, menyekat kemaraan Pakatan Atlantik Utara (NATO), serta mewujudkan negara penampan (buffer states) baru melalui Donestk dan Luhansk yang sebelum ini hanya berada dalam kawalan puak pemisah pro-Rusia. Namun begitu, langkah ini turut bakal memberi impak sistemik yang negatif kepada negara-negara lain dalam keadaan seluruh dunia sedang pulih daripada krisis kesihatan. 

Faktanya, Rusia sendiri merupakan pembekal minyak kedua terbesar kepada Amerika Syarikat dan juga pembekal gas asli paling utama kepada Eropah. Ramai taikun gergasi Rusia turut melabur dan menyimpan aset mereka di Barat seperti Roman Abramovich pemilik pasukan bola sepak Chelsea. Malah, Rusia ialah antara salah satu negara di dunia di mana asetnya di luar negara hampir menyamai nilai keluaran negara kasarnya melalui taikun-taikun yang bekerjasama dengan bank-bank serta sistem kewangan luar pesisir (offshore) Barat sendiri. 

Syarikat-syarikat Barat juga memiliki kepentingan yang tidak sedikit di Rusia seperti BP British yang memiliki hampir 20 peratus kepentingan dalam Rosneft, manakala Exxon (Amerika) dan Shell (UK-Belanda) memiliki kepentingan dalam medan LNG Sakhalin Rusia. Akibatnya, meskipun Amerika dan sekutu NATO di Eropah seringkali mengugut untuk mengenakan sekatan ke atas Rusia, langkah sedemikian bakal mengimpak import sektor tenaga mereka sendiri yang paling utama.

Tindakan terbaru Presiden Rusia ini ternyata bukan omong kosong dengan lebih 190,000 bala tentera Rusia mengepung Ukraine dari segenap arah, termasuk dari dalam negara Belarus (sekutu Moscow) dan Crimea, dengan lebih 70 peratus angkatan darat pula dalam posisi menyerang Ukraine. Malah, Rusia turut memindahkan penduduk wanita dan kanak-kanak Donbas secara besar-besaran ke Rusia dengan setiap seorang diberi 10,000 Rouble. Kaum lelaki Donbass pula sedang menyertai angkatan bersenjata pemisah pro-Rusia secara beramai-ramai.

Putin menegaskan bahawa sistem ketenteraan Ukraine sudahpun terintegrasi ke dalam sistem angkatan tentera NATO. Malah, Putin mendedahkan bahawa kuasa Barat dan NATO turut membantu Ukraine untuk membangunkan senjata nuklear mereka sendiri dengan memanfaatkan tinggalan Kesatuan Soviet Rusia di Ukraine.

Bukan sahaja Amerika dan NATO mungkir janji mereka pada 1991 kononnya NATO tidak akan meluaskan keanggotaan dengan menerima negara-negara seperti Estonia, Latvia, Bulgaria, Romania, Slovakia, Lithuania, Albania, Montenegro, dan Macedonia Utara, sebaliknya kini cuba membawa masuk Ukraine pula. Kesemua perkembangan inilah yang membangkitkan kemarahan Putin dalam keadaan Amerika Syarikat sudahpun menempatkan peluru berpandu nuklear di Jerman, Itali, Belgium, Belanda, dan Turki sejak sekian lama. UK dan Perancis pula memiliki senjata nuklear mereka sendiri.

Pendedahan Presiden Putin mengenai rancangan Ukraine untuk membangunkan senjata nuklear dengan bantuan Barat, di samping penegasan bahawa Ukraine bukanlah negara yang sebenar, sebaliknya terhasil daripada kesilapan pemimpin Komunis Kesatuan Soviet dahulu – memberi isyarat bahawa Rusia berkemungkinan akan bertindak untuk menggerakkan angkatan tenteranya ke dalam sempadan negara yang dituntut oleh Ukraine di Donbas, di sebalik usaha diplomatik Perancis dan juga ugutan sekatan Amerika dan Jerman.

Apa yang pasti, rakyat Malaysia jelas akan menerima impak kenaikan berterusan harga minyak, harga barang, dan harga makanan akibat kenaikan kos pembuatan dan pengangkutan. Kenaikan harga minyak turut akan menaikkan nilai mata wang ringgit, sekali gus mengimpak eksport kita secara negatif.  

Namun begitu, ada sisi positif untuk kita di mana dalam Bajet 2022 Malaysia tahun lalu mengguna anggaran harga minyak sekitar USD66 se tong. Maka, kenaikan harga hingga USD90 kini, meskipun bakal beri impak inflasi, tetapi juga akan beri pendapatan lebih kepada PETRONAS, sekali gus memberi impak positif kepada sebarang rancangan kerajaan untuk mengimbangi subsidi minyak, makanan, dan bahan mentah.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik Sarjana Doktor Falsafah (PhD)
Faculty of Governance and Global Affairs
Leiden University, Belanda 

Sumber | Fb 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo