NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemelukan Agama Anak; Jangan Ada Pihak Cuba Cetus Api Perkauman

Bagi seseorang bukan Islam yang ingin menukar agama kepada agama Islam, mereka perlu melalui beberapa proses yang telah ditetapkan mengikut negeri-negeri di Malaysia. Begitu juga dalam soal pemelukan agama anak.

Mengikut peruntukan undang-undang negeri berhubung dengan pemelukan agama anak, wujud perbezaan syarat, di mana ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri yang mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.  

Dalam hal ini, kita menghormati syarat-syarat yang diputuskan oleh negeri-negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat-syarat yang diputuskan juga adalah berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah.

Merujuk kepada isu di Perlis, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Perlis pada masa tersebut seperti yang termaktub dalam Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.  

Oleh itu, hal ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian apabila pihak yang telah menukar agamanya kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang telah ditetapkan secara sah. Apatah lagi sehingga menuduh pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut. 

Tidak sepatutnya kita meniup api perselisihan sehingga mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini. Firman Allah SWT (yang bermaksud): “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya.” [Surah al-Hujurat: 13].

Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba memainkan api perkauman apabila undang-undang negeri yang membenarkan pemelukan agama anak-anak itu adalah sah dan terpakai.

Semua pihak perlu menghormati undang-undang tersebut kerana ia digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu badan yang kompeten dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah bidang kuasanya.

#PemelukanAgama
#PentadbiranAgamaIslam  
#HalEhwalAgama 
#DewanUndanganNegeri
#MalaysiaSejahtera

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo