NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Impian wartawan cilik temu ramah PM tercapai

 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab persoalan ketika ditemu ramah wartawan cilik viral, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, di salah sebuah hotel terkemuka di Alor Setar

ALOR SETAR: Impian 'wartawan cilik' Muhammad Haziq Mohd Asyraf, dari Bukit Selambau, Sungai Petani yang ingin bertemu dan menemuramah Perdana Menteri menjadi kenyataan petang tadi.

Kanak-Kanak berusia 12 tahun itu dipertemukan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di sini dan diberi kesempatan menemuramah pemimpin nombor satu negara itu.

Dalam sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq bertanyakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri berkaitan makanan kegemaran, rutin harian dan sama ada beliau mengenali juadah kampung.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai perancangannya jika diberi peluang menerajui negara 10 tahun lagi dan Ismail Sabri menjawab beliau berharap dapat menghapuskan kemiskinan serta miskin tegar menjelang 2025.

"Yang pertamanya kita beri fokus untuk menjadikan ekonomi kita negara berpendapatan tinggi, yang keduanya supaya kita boleh bantu masyarakat luar bandar, kita dapat hapuskan kemiskinan supaya tidak ada lagi orang miskin, miskin tegar, kita nak hapuskan dalam tahun 2025 nanti.

"Negara kita pun ke arah neutral karbon supaya tidak ada lagi kalau kita tengok kilang-kilang, asap dan sebagainya, jadi nak jadikan negara kita neutral karbon. Ini semua perancangan masa depan untuk rakyat seperti Haziq," katanya.

Selepas sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq yang ditemani ibunya Nur Shakilla Zainol, 33, dan beberapa ahli keluarga lain memberitahu Bernama bahawa dia amat berbesar hati dapat berjumpa serta menemuramah Perdana Menteri.

"Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa Perdana Menteri.

"Saya lihat beliau seorang yang baik, penyayang dan handsome orangnya," kata Muhammad Haziq.

Sebelum ini, Bernama melaporkan hasrat Muhammad Haziq untuk bertemu Ismail Sabri dan menemuramah beliau jika diberi kesempatan.

Ismail Sabri berada di Kedah untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan merasmikan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang esok.

Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya yang melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani tular.

Video itu, yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Jan lepas, telah mendapat 1.2 juta tontonan.

Penghidap talasemia itu turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

Muhammad Haziq juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selain menerima sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta individu. – BERNAMA





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo