NOTIS:

Belum ada lagi....

COVID-19: Pakar yakin tiada PKP, sekatan beraya walau kes naik


KUALA LUMPUR: Meskipun kes harian COVID-19 mencatatkan peningkatan mendadak dan kembali mencecah 10,000 dengan jangkaan terus naik sehingga 15,000 tidak lama lagi, pakar epidemiologi berpendapat kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.

Ini kerana situasi kawalan wabak di Malaysia pada masa ini amat berbeza berbanding penularan sejak awal 2020 hingga tahun lalu ketika negara masih bergelut membendung penularan virus berkenaan, selain bertungkus-lumus mendapatkan bekalan vaksin mencukupi bagi keperluan rakyat.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata dalam tempoh dua tahun sebelum ini, liputan vaksin dos primer, iaitu dua dos awal bagi membentuk perlindungan sistem tubuh badan terhadap jangkitan COVID-19, masing-masing ialah 97.9 peratus dalam kalangan dewasa dan remaja ialah 88.7 peratus.

"PKP secara menyeluruh memang bukan lagi pendekatan yang kita boleh gunakan sekarang kerana ia menjejaskan pelbagai aspek, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan sosial masyarakat. Begitu juga dengan sekatan pergerakan lain, termasuk halangan untuk pulang beraya.

"Kita perlu tahu bahawa situasi sekarang amat berbeza, dulu tiada liputan vaksin yang baik, kesan varian Delta yang amat teruk dan kit ujian saringan kendiri pula tidak dapat diperoleh dalam harga berpatutan, terhad untuk kemampuan segelintir pihak.

"Kini, semua faktor itu berubah ketara apabila liputan vaksin kita antara terbaik di dunia, kesan klinikal berikutan varian Omicron pula tidak begitu teruk berbanding Delta dan kit ujian saringan kendiri boleh didapati pada harga hampir 90 peratus lebih murah di pasaran.

"Justeru, tanggapan bahawa kita bakal berdepan sekatan pergerakan atau PKP menjelang hari raya Aidilfitri nanti adalah tidak berasas, malah jaminan sudah diberikan kerajaan yang akan membuat sebarang keputusan bersandarkan bukti dan asas sains," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 23 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan kerajaan secara bersasar di kawasan terbabit saja.

Jaminan sama kemudian disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 3 Februari lalu yang mengakui bahawa kes harian COVID-19 bakal mencatatkan peningkatan mendadak, namun kelonggaran untuk pulang ke kampung meraikan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Deepavali, juga dapat diberikan pada Aidilfitri kelak.

Bagi mengelak kekeliruan, Dr Malina berkata, orang awam yang membuat kenyataan, kononnya kerajaan bakal melaksanakan PKP menjelang Aidilfitri susulan peningkatan mendadak kes harian COVID-19 perlu menghentikan perbuatan sedemikian.

"Itu pemikiran negatif, sebaliknya kenapa kita tidak lihat bahawa peningkatan kes ini adalah 'wake up call' (keperluan untuk sedar) bahawa kita perlu memperkukuhkan kembali pematuhan prosedur operasi standard (SOP), mengambil dos penggalak dan memberikan vaksin kepada kanak-kanak.

"Ini kerana peningkatan kes sekarang bukan hanya melanda Malaysia, sebaliknya negara lain seperti Indonesia, Thailand, Jepun dan lain-lain, mereka juga merekodkan keadaan sama. Justeru sebarang analisis berkaitan tindakan seterusnya wajar berpandukan asas sains, bukan 'cakap kosong'.

"Kita perlu lihat petunjuk penting seperti jumlah pesakit kategori 4 dan 5, kadar kemasukan ke hospital, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) serta jangkitan dalam kalangan petugas perubatan yang sebenarnya menjadi penentu sebenar keadaan kawalan wabak," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo