NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyelesaian situasi menang-menang isu bekalan, harga ayam

Peniaga Noraini Mohamad, 36, (kiri) menjual telur ayam kepada pelanggan ketika tinjauan di Kampung Batu 6 hari ini.


SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan situasi menang-menang terhadap isu bekalan dan harga ayam mentah di negara ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata apabila kerajaan menetapkan harga ayam pada kadar RM8.90 sekilogram (kg), namun ada kalangan pengeluar atau penternak enggan mematuhinya atas alasan kos operasi yang tinggi.

"Penetapan harga ini dipercayai tidak dapat menampung kos operasi pengeluar dan penternak dan ini sudah tentu akan memberi kesan dari segi bekalan ayam seperti mana yang berlaku membabitkan kekurangan bekalan telur ayam, ketika ini.

"Saya khuatir bekalan ayam pula akan berkurangan pada minggu-minggu akan datang susulan penetapan harga ini. Jadi kita minta perkara ini dibincangkan di peringkat kementerian bersama pembekal makanan, penternak, dan pengusaha, supaya mencari jalan penyelesaian, mencari titik noktah di mana sebenar kosnya.


"Ini penting supaya masalah ini tidak terus berulang dan mengambil masa lama untuk diselesaikan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2022, di Pusat Sukan Paroi, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Aminuddin berkata, masalah ini tidak akan selesai jika pengusaha mengurangkan kuantiti pengeluaran kerana disebabkan kos.

Katanya, kerajaan negeri pula tidak mampu untuk memberikan subsidi kepada pengguna dan ini akan memberi beban kepada rakyat keseluruhannya.

"Akhirnya rakyat terus terbeban kerana tiada jalan penyelesaian. Sepatutnya Kerajaan Persekutuan membuat dasar memastikan mereka mampu memberi subsidi makanan dan kemudian pastikan harga yang dikenakan kepada pengguna, adalah harga yang sebenarnya.

"Justeru, kementerian berkaitan perlu segera menyelesaikan perkara ini bukan kena tungu lagi," katanya yang memaklumkan kerajaan Negeri Sembilan perlu membuat kajian jika ingin mengikut jejak beberapa negeri yang menetapkan harga siling ayam mentah kerana bukan berstatus negeri pengeluar ayam.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo