NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seni mural bidai kayu, Tarikan baharu Segamat

Mural bertemakan retro menggambarkan suasana kehidupan penduduk era 50-an di Segamat. - Foto/Ahmad Ismail

MURAL seni lukisan pada bidai kayu di kaki lima deretan kedai di Jalan Aji, di Segamat, Johor bakal menjadi tarikan baharu di daerah ini termasuk dalam kalangan pengunjung.

Mural bidai bertemakan 'retro' menggambarkan suasana kehidupan penduduk sekitar tahun 50an itu dilakar dengan seni lukisan tangan dan dicat menggunakan cat minyak.

Lukisan itu kini siap selepas proses diwarnakan serta lukisan dihasilkan oleh 64 pelukis yang mendapati kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Balai Seni Lukis Negara, Pejabat Pendidikan Daerah Segamat (PPD), pelajar Kolej Komuniti Pagoh di Muar, Sekolah Tinggi Segamat (STS) dan Sekolah Dato Bentara Dalam Segamat (SDBDS).

Jurucakap kumpulan pelukis seni jalanan Segamat, Aisyamuddin Latip, 26, berkata kerja melukis 10 keping bidai di permukaan mural kayu selebar dua meter persegi itu, baru-baru ini berjaya disiapkan dalam tempuh 48 jam.

Katanya, pelukis mula melukis dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan melakukan dengan penuh berhati-hati bagi mendapatkan hasil terbaik.

"Kita perlu siapkan segera sekali gus mampu menggambarkan keunikan Segamat di mata pengunjung dalam dan luar negara.

"Pengunjung pastinya mahu mengabdikan kenangan berlatar belakangkan subjek di mural bidai kayu ini.

Pelukis terdiri daripada pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah sedang menyiapkan lakaran mural bidai kayu.- Foto/Ahmad Ismail

"Ini adalah projek perintis dan mendapat sambutan ramai. Lukisan mural bidai kayu ini akan diperluaskan ke lokasi lain di daerah ini," katanya.

Hargai seni lukisan bidai

Lukisan mural bidai kini digantung di kaki lima bangunan kedai yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan perlu menggunakan cat minyak hasil seni berkualiti memastikan ia mampu bertahan lama.

Katanya, masyarakat tempatan dan pengunjung luar kini semakin menghargai seni mural lukisan bidai yang semakin pupus.

"Kita mahu masyarakat menghargai nilai seni ini yang dianggap antara produk pelancongan menarik, selain memberi peluang pelukis baru terbabit mendapat peluang pekerjaan.

"Kewujudan mural bidai memiliki aura tersendiri sekali gus menarik pengunjung khususnya golongan muda yang sukakan suasana santai," katanya.

Aisyamuddin berkata, jika dilihat hari ini banyak kawasan dibangunkan mempunyai keunikan tersendiri bagi mewarnai keindahan sesuatu kawasan untuk menarik pengunjung.

Kebanyakan motif dipilih bergantung kepada kehendak pelanggan termasuk mewujudkan figura atau ikon tertentu.

"Mural bidai juga mampu menjadi kempen kesedaran untuk memahami sesuatu perkara contohnya, mengenai kepentingan menghargai alam semula jadi, pengiklanan produk, memulihara hidupan liar yang semakin terancam, selain sejarah kawasan setempat.

"Dengan pelbagai warna termasuk hitam dan putih, lebih mudah menarik perhatian ramai," katanya.

Seni bidai semakin terpinggir

Kewujudan mural bidai kayu sebenarnya sudah wujud sejak ratusan tahun dahulu, kini semakin terpinggir, namun dengan kaedah teknologi tinggi ia memberikan kelainan.

"Kita berusaha mencari pelapis pelukis baharu serta berbakat untuk menghasilkan karya berkualiti.

"Mereka perlu kreatif memikirkan kaedah terbaik termasuk memastikan hasilnya tidak rosak di mamah cuaca hujan dan panas.

"Penghasilan karya seni lukisan dipamerkan tempat tumpuan awam ada cabaran tersendiri agar konsepnya tidak menjadi cemuhan masyarakat.

Secara umum teknik digunakan ialah dengan dilukis secara digital dahulu, sebelum dizahirkan dalam bentuk bidai.

"Ini memudahkan kerja melukis. Pelukis juga menggunakan teknik 'marking' kerana lebih mudah menghasilkan karya yang tepat dengan subjek asal dan mudah disiapkan," katanya.


Sumber|BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo