Sabah: seorang ADUN tinggalkan WARISAN


KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony hari ini mengumumkan keluar dari parti itu bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, parti baharu yang bakal ditubuhkan itu adalah sebuah parti mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan menyokong kerajaan negeri.

Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Anthony berpendapat membentuk satu gabungan bersama kepemimpinan kerajaan negeri adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi di Sabah.

Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berlangsung baru-baru ini yang mana kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bawah pimpinan Tan Sri Abang Johari Abang Openg memperlihatkan rakyat negeri itu cenderung memilih parti tempatan.

"Saya berasakan sudah tiba masa bagi kita pemimpin di Sabah ini untuk melupakan persengketaan politik dan membangunkan Sabah.

"Kita lihat bahawa kedudukan Malaysia ini terlalu besar. Biarlah Sarawak ditadbir pemimpin Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur atau Pulau Pinang ditadbir pemimpin di sana.

"Kita di Sabah tumpu keseluruhan usaha kita untuk membangunkan Sabah. Tidak ada guna kita berbalah dari segi politik dan ramai penduduk Sabah tertindas serta ketinggalan dari segi pembangunan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony ketika mengulas mengenai parti baharu yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat berkata, parti itu kelak adalah parti tempatan Sabah dengan pelbagai kaum.

"Kita akan membentuk parti baharu sebagai parti pelbagai kaum. Rakyat Sabah memerlukan sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan hak orang Sabah dan itu yang paling penting untuk kita.

"Parti WARISAN sudah tersasar daripada perjuangan asal. Prinsip 'Sabah untuk Sabahan' ini telah tersasar apabila mereka melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

"Rata-rata rakyat Sabah ini mahukan satu platform parti yang menjurus kepada kepemimpinan negeri Sabah. Itu yang penting selain kebersatuan di antara kita semua," katanya.

Sementara itu, Anthony ketika ditanya pemberita menafikan keputusan beliau untuk keluar dari WARISAN tidak ada kena mengena dengan kes mahkamah berkaitan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan (berkenaan kes) dan menjelaskan keputusannya adalah berdasarkan suara akar umbi mahukan parti tempatan yang memperjuangkan hak Sabah.

Selain itu, ketika ditanya pemberita sekiranya beliau telah berbincang dengan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung perkara terbabit, Peter berkata semuanya baik sahaja.

"It should be okay (sepatutnya tidak ada masalah)," katanya ringkas.

Anthony turut tidak menafikan akan ada beberapa ADUN termasuk dari parti pembangkang lain yang akan menyertai beliau dalam parti baharu.

"Mungkin nanti tetapi bukan sekarang. Saya akan buat pengumuman dalam masa terdekat dan kalau ada yang berminat, kemungkinan kita sedia memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama saya dalam parti baharu ini.

Anthony turut memberitahu pemberita bahawa beliau akan menghantar surat berhubung perkara terbabit kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Anthony adalah ADUN keempat WARISAN yang keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo