NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Program Usahawan Teknologi Retort bakal diperluas, Kami bantu dari segi ilmu dan peralatan - Rina Harun



KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperluas program Usahawan Teknologi Retort di lebih banyak kawasan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu usahawan kecil menjana lebih pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata melalui inisiatif di bawah Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu, usahawan dan suri rumah dapat mempelajari teknologi baharu pembungkusan makanan yang membolehkan makanan yang dimasak untuk jualan tahan lebih lama iaitu sehingga 18 ke 24 bulan.

Beliau berkata, ketika ini, program berasaskan komuniti itu dimulakan di PPR Hiliran Ampang di sini, sejak Oktober lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

"Seramai 105 peserta dalam komuniti PPR Hiliran Ampang serta Koperasi Hiliran Ampang menghadiri Kursus Asas Teknologi Retort Makanan yang diadakan selama tiga minggu bermula 6 Oktober lalu.

"Pada bulan lalu, pihak kementerian mengadakan libat urus dengan peserta bagi produk jualan dan pada bulan ini, mereka memulakan jualan.

"Insya-Allah, kita akan perluaskan ke tempat lain dan apa yang penting, kita mahu pemimpin masyarakat menggerakkan program ini dalam komuniti mereka dan kita di pihak kerajaan akan membantu dari segi ilmu serta peralatan," katanya kepada media selepas merasmikan Projek Rintis Usahawan Retort: FACE di PPR Hiliran Ampang, hari ini.

Mengulas mengenai teknologi retort, Rina berkata, ia adalah kaedah pembungkusan makanan dengan pemprosesan aseptik dan diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel.

"Teknologi ini membasmi mikroorganisma yang terdapat dalam makanan dimasak kerana menggunakan suhu pemanasan sehingga 121 darjah Celsius, sekali gus menjadikan makanan itu terjamin dari segi kebersihan, kesegaran dan sesuai untuk berada di pasaran bagi tujuan dikomersialkan," katanya.

Justeru, beliau berharap, lebih ramai ahli masyarakat terutama golongan wanita mengambil peluang untuk mempelajari dan mengaplikasi teknologi itu untuk produk makanan keluaran mereka.

"Usaha yang berterusan mampu mengubah kehidupan kita. Kementerian saya sentiasa menyokong segala usaha pembangunan ekonomi wanita, keluarga dan peniaga kecil menerusi pelbagai program, antaranya MyKasih Kapital dan Wanita Bangkit Berniaga," katanya.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo