NOTIS:

Belum ada lagi....

Nahas 10 maut: Pemandu Treler mengaku tidak bersalah

0


SHAH ALAM: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan di lorong kecemasan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menyebabkan kematian 10 individu di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa,
Mohd Rafi Jaafar, 37, yang memakai baju T berwarna kelabu dan merah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.
Mengikut pertuduhan yang dibaca secara berasingan, bapa kepada tiga anak itu didakwa sebagai pemandu lori treler jenis Hanvan telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya kepada orang awam sehingga berlaku kemalangan dan mengorbankan 10 nyawa.
Mereka yang terkorban ialah Muhamad Rahimi Rolex, 27; Norul Naziah Buyong, 37; Razarul Amin Abdul Razak, 17; Razatul Aliah Abdul Razak, 16; Puteri Hidayah Abdul Razak, 12; Mohd Aizat Syazwan Abdul Razak, 10; Mohd Rokaizat Rezky Abdul Razak, 9; Mohd Hidayat Hakimie Abdul Razak, 7; Puteri Nor Ain Syalwana Abdul Razak, 3, dan Mohd Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Shah Alam, pada 12.02 tengah malam, 18 Disember lalu.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Selain itu, lesen boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan.
Kes berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Raya Selangor, Mohammad Al-Saufi Hashim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Mohammad Al-Saufi pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada kadar yang tinggi iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
"Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu lesen memandunya ditahan oleh mahkamah dan dia tidak mengganggu saksi kes ini.
"Peristiwa ini sangat menyayat hati, kerana ia mengorbankan seorang lelaki, seorang ibu dan lapan anaknya malah kejadian berlaku ketika Selangor diuji dengan kejadian banjir besar," katanya.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.
"Seorang daripadanya masih dirawat di Hospital Melaka, jadi saya harap ikat jamin saya dapat dikurangkan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan.
"Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan seperti cadangan pihak pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan," katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan 10 individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler berhampiran R&R USJ Lebuh Raya Elite menghala Shah Alam.
Mangsa yang meninggal dunia membabitkan sembilan sekeluarga iaitu ibu serta lapan anaknya, selain seorang lelaki.
Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana salah satu daripadanya mengalami kerosakan.
Dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan. - Astro Awani


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo