NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gerakkan 20 dron, serah bantuan banjir


PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menggerakkan 20 dron bagi menyerahkan barang keperluan asas seperti ubat-ubatan dan makanan kepada mangsa di lokasi tidak boleh diakses akibat banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dron berkuasa tinggi itu mempunyai kemampuan untuk membawa bekalan barat dengan kapasiti lebih 10 kilogram dalam satu masa.

Bagaimanapun, katanya pihaknya menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum dapat menggerakkan dron diberikan lima syarikat swasta.

"Dengan kebenaran diberikan itu, selain dapat menghantar barang keperluan, ia juga boleh memberi maklumat kepada pihak berkaitan menerusi visual dari udara.

"Penggunaan dron itu ia juga dapat membantu pihak berkaitan memantau dan mencari mangsa banjir terperangkap serta melihat keadaan jalan raya atau tebing terkesan akibat bencana ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan penyelesaian rawatan air teknologi hijau dikenali DeScale, hari ini.

Dr Adham berkata, penggunaan dron ini adalah antara inisiatif kementeriannya untuk membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menilai dengan lebih tepat kawasan terjejas banjir.

Beliau berkata, dron itu nanti dikelolakan Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron) yang ditubuhkan kementerian bersama Teknologi Park Malaysia (TPM) sebagai penyelaras.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, cerapan imej satelit sehingga semalam menunjukkan kira-kira 60 peratus kawasan digenangi air di Selangor menunjukkan pengurangan berbanding Sabtu lalu.

"Sebagai contoh di kawasan Taman Sri Muda, dan Seksyen 24, Shah Alam, banjir kini sudah surut dengan kawasan liputan banjir berkurangan daripada 5.1 kilometer persegi kepada kira-kira 2.1 kilometer persegi setakat 6 petang semalam.

"Bagaimanapun, cerapan imej satelit di Pahang menunjukkan peningkatan kawasan digenangi air. Berikutan itu pemantauan akan diteruskan serta maklumat lanjut keluasan akan dibekalkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dari masa ke semasa," katanya. -BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo