NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MUDA bakal didaftarkan sebagai parti politik - Mahkamah Tinggi


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Menteri Dalam Negeri supaya mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu lain, mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak rayuan mereka mendaftar MUDA sebagai sebuah parti politik.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain, ketika sidang media selepas pengumuman keputusan itu.

Wei Jiet berkata, dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi menyifatkan alasan menolak pendaftaran MUDA iaitu prejudis kepada keselamatan negara adalah tidak berasas.

"Mahkamah mengarahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan MUDA dalam tempoh 14 hari.

"Mahkamah turut memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan RoS membayar kos RM10,000 kepada MUDA," katanya.

Wei Jiet yang juga Naib Presiden MUDA, berkata pihaknya berterima kasih kepada mahkamah atas keputusan itu dan berharap kerajaan tidak akan merayu, sebaliknya membenarkan MUDA didaftarkan, agar demokrasi dan perjuangan anak muda di Malaysia dapat diteruskan.

Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Ali, yang mewakili menteri berkenaan dan RoS selaku responden dalam prosiding berkenaan, ketika dihubungi media mengesahkan keputusan mahkamah itu.

Pada 21 September lepas, Syed Saddiq serta 12 individu selaku pemohon, memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman tersebut bagi mencabar keputusan itu.

Syed Saddiq dan 12 individu itu memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan telah mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Selain itu, mereka memohon perintah ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai, kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 18 Ogos lepas, MUDA menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan MUDA untuk mendaftarkan parti berkenaan atas alasan ia menjadi akademik kerana pada 12 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri telah membuat keputusan berhubung rayuan itu dengan menolak permohonan tersebut.

Mereka kemudiannya memfailkan permohonan baharu di mahkamah pada 24 Ogos lalu.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA, menyifatkan keputusan mahkamah bukan kemenangan kepada pihaknya semata-mata, sebaliknya kepada sistem demokrasi negara.

Beliau berkata, kini MUDA mempunyai tempat untuk menyuarakan pendapat, kritikan dan pandangan untuk membangunkan negara.

"Kami bermula hampir setahun setengah yang lalu. Siapa MUDA? Pengasasnya cikgu, peguam, doktor muda, petani dan korporat muda yang mungkin tidak ada pengalaman politik yang panjang.

"Kita tidak ada wang lumayan dan kedudukan dalam kerajaan tetapi yang kita ada adalah iltizam semangat juang demi negara tercinta," katanya pada sidang media selepas keputusan itu.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, berkata kewujudan MUDA bukan untuk membakar jambatan atau bermusuhan dengan parti lain.

Sebaliknya, beliau berkata, ia mahu membina jambatan serta membangunkan negara yang berbilang bangsa dan agama, melalui pendekatan memperkasakan politik khidmat supaya tidak ada sesiapa terutama golongan miskin yang tercicir, tanpa mengira latar belakang fahaman politik mereka.

Dalam satu hantaran melalui akaun Facebook, Syed Saddiq berkata, Malaysia memerlukan politik MUDA bagi menghapuskan zaman politik wang, kuasa dan kedudukan sebagai alat politik.

Beliau berkata, penubuhan MUDA adalah untuk semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang ditindas dengan politik lama yang lapuk.

"Lebih satu tahun, saya dan pimpinan MUDA turun naik RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), ulang alik mahkamah.

"MUDA hanya mahu menjadi wakil terbaik dalam politik negara tetapi dihalang dan disekat. Kami tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya dengan bendera MUDA.

"Kami tidak dibenarkan mendaftar ahli dengan sah. Saya sendiri dilabel sebagai Ahli Parlimen BEBAS di dalam Dewan Rakyat," katanya yang mendakwa kini sudah mempunyai 50,000 ahli yang bernaung di bawah MUDA. -BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo