NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes buli MRSM: Dibuli kerana dakwah jangan tonton video lucah



PASIR SALAK: Marah kepada mangsa yang menasihati supaya tidak terus menonton video lucah didakwa menjadi punca kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata perkara itu hasil siasatan dan keterangan diperoleh daripada mangsa buli berkenaan.

Katanya, polis sudah menemubual mangsa dan mendapati punca atau sebab pergaduhan kerana mangsa dikatakan menasihati seorang daripada suspek supaya tidak menonton video lucah di telefon bimbit.

"Mangsa memberitahu jika tidak berhenti menonton (video lucah) dia akan melaporkan perkara itu kepada guru atau warden. Jadi, perkara ini dikatakan menjadi punca suspek bertindak memukul atau membuli mangsa.

"Keadaan itu menyebabkan enam suspek marah dengan seorang daripadanya yang juga pelajar Tingkatan Tiga mengarahkan rakannya yang terbabit untuk menumbuk dan menendang mangsa," katanya mengulas perkembangan terkini berhubung kes itu, di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar yang menjadi suspek utama insiden buli terhadap pelajar lain, sebelum video mengenainya tular di media sosial.

Terdahulu, Mior Faridalathrash menghadiri majlis perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak di Dewan Agro Aman Jaya, Tanjung Tualang, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, beliau dimaklumkan pada Jumaat lalu semua pelajar pulang ke rumah masing-masing kerana cuti semester iaitu sehari sebelum malam insiden buli itu.

"Setakat ini polis sudah merakam percakapan saksi susulan video yang tular di media sosial, selain menahan 10 individu yang disyaki terbabit dan bersubahat dalam insiden itu.

"Seramai lapan saksi dipanggil dan diambil keterangan, sebelum semua semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis turut merampas 11 unit telefon bimbit yang akan dihantar ke jabatan forensik untuk melihat kandungan di dalamnya. Kita akan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik selepas semua siasatan selesai," katanya.

Katanya, mangsa ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor dan keadaannya dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius. -BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo