PETALING JAYA: Hasil lelongan awam di kediaman Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat masih belum mencukupi untuk menjelaskan keseluruhan pampasan yang dituntut oleh syarikat stokis OWA Resourses Sdn Bhd berjumlah kira-kira RM183,000.
Lelongan 40 unit barangan di rumah Sajat di Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, di sini, berjaya dibida oleh seorang lelaki dengan jumlah RM132,000 selepas lebih 10 kali proses bidaan.
Peguam, Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, berkata pihaknya akan berbincang dengan anak guamnya berhubung tindakan selanjutnya bagi menyelesaikan baki pampasan yang dianggarkan lebih RM50,000.
"Apabila proses lelongan ini selesai, kami akan melihat semula jumlah dan sekiranya baki tidak mencukupi, saya akan berbincang dengan anak guam saya untuk mencari jalan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini.
"Ini disebabkan dalam jumlah bayaran RM132,000 yang diperoleh hasil lelongan ini masih ada kos lain seperti yuran mahkamah," katanya selepas lelongan awam berkenaan selesai, tengah hari tadi.
Katanya antara barangan termahal yang dilelong adalah piano bernilai RM40,000 dan termurah adalah set pembakar roti selain beberapa barangan lain iaitu sofa, pendingin hawa, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, set bilik tidur dan televisyen.
"Proses lelongan awam ini bermula jam 10.30 pagi. Pembida yang berminat perlu membuat bayaran deposit RM5,000 sebelum dibenarkan masuk dan dibawa melihat barangan pada jam 11 pagi.
"Seramai lapan pembida menyertai proses lelongan membabitkan 40 barangan dengan harga bidaan bermula dari RM77,650.
Sementara itu, Nurwati Hussin, 41, dari OWA Resources, yang juga bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Nur Sajat berpuas hati dengan proses lelongan yang diadakan itu.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan peguam mengenai jumlah yang diperoleh dalam lelongan berkenaan.
"Jika tidak mencukupi, kita akan teruskan dengan proses selanjutnya dan saya akan bincang dengan peguam supaya dapat satu jalan penyelesaian terbaik," katanya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu membenarkan harta Muhammad Sajjad disita dan dilelong susulan kegagalannya membayar pampasan kepada bekas stokis utama, OWA Resources.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif menuntut pampasan RM183,000 yang gagal dibayar oleh Muhammad Sajjad melalui proses penyitaan. -BH
No comments
Post a Comment