NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hayat BN, PN, PH ditentukan 20 Nov ini?




Oleh M FAQIH

MESEJ perpaduan yang konsisten diulang-ulang PAS sejak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, nampaknya belum cemerlang. Malah pada peringkat awal mesej penyatuan Melayu/Islam diharap banyak pihak.

Semangat itu semarak selepas rakyat merasai sendiri kemelut negara ketika di bawah teraju Pakatan Harapan (PH). Sindiran dan kritikan terbuka terhadap ketuanan Melayu dan Islam menjadi-jadi ketika itu.

Sepanjang 22 bulan di bawah PH, rakyat hampir setiap hari dilanda resah. Persenda terhadap Islam dan Raja-Raja Melayu dilontar tanpa sembunyi di media soSial.
Advertisement

Malah ada yang tergamak menulis anggota tentera seolah ‘makan gaji buta’. Sedangkan isu seumpama itu tidak pernah kedengaran sejak merdeka.

Mengambil kira cabaran yang berlaku itu maka isu ketuanan Melayu digerakkan semula. Ia berakhir dengan Piagam Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Namun, selepas penyatuan Melayu berlaku, Umno merombak barisan kepimpinanNYA. Pemimpin yang proMN disisihkan, seolah-olah melupakan sejarah 22 bulan ketika bergelar pembangkang di peringkat persekutuan.

Kesungguhan Umno menjuarai penyatuan Melayu-Islam kelihatan hanya seketika. Tahkala tiada kuasa, suara-suara penyatuan Melayu hampir setiap hari diulang-ulang.

Ketika berada di saf pembangkang Umno paling kerap bercakap tentang penyatuan Melayu dan Islam. Namun malangnya selepas MN berjaya memendekkan usia kerajaan PH, tiba-tiba penyatuan Melayu seperti dibiarkan layu.

Ketika itu tentunya ramai masih ingat Umno dan PAS mempelawa Bersatu menyertai PN. Namun, pelawaan itu sekerat jalan dan hilang begitu sahaja.

Biarpun sudah jelas Umno menolak Bersatu pada PRU-15, namun PAS masih mengharap ada semangat baru. Atas nama penyatuan Melayu/Islam PAS cuba menggerakkan kesedaran tersebut.

Media rasmi PAS, Harakah hampir setiap edisi memuatkan harapan penyatuan ummah. Pemimpin PAS masih mengharap dan mengharap.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, harapan ummah kepada PAS sangat besar bagi membawa agenda Islam. Luahan itu disuarakan semalam, pada hari terakhir muktamar PAS di Duyung Marina Resort, Kuala Nerus.

Harapan serupa juga diluahkan ramai perwakilan PAS pada muktamar PAS kali ke-67 itu. Perwakilan PAS negeri-negeri dan kawasan juga mengharapkan begitu.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga berkongsi citra sama. Dua hari sebelum berlangsung penamaan calon PRN Melaka, harapan penyatuan ummah masih dikongsikan.

Beliau juga seperti mengharap ada perubahan pada hari penemaan calon bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru. Namun, harapan itu disia-siakan begitu sahaja.

Pada Sabtu lepas Umno mengumum menurunkan calonnya bertanding di semua Dun di Melaka. Sedangkan PN pada peringkat awal sedia menumpu perhatian di 14 lagi kerusi yang tidak dimenangi BN pada PRU lepas.

Selepas ucapan dasar pada muktamar Sabtu lepas, Tuan Guru Abdul Hadi ketika bercakap kepada media masih meletakkan harapan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru.

Biarpun sudah tahu Umno/BN meletak calon di kesemua28 kerusi, namun presiden PAS masih mengharap ada keajaiban berlaku.

Bagaimanapun hari ini secara rasmi Umno/BN menolak seruan muafakat Melayu/Islam. Berikutan itu PN terpaksa membuat percaturan semula selepas Umno berkeras mengatakan mereka masih kuat dan utuh.

Kuat atau tidak, rakyat Melaka akan menentukan pada 20 November ini. Itulah detik ukuran kekuatan sebenar, biarpun mana-mana pihak mampu mendakwa mereka kuat.

Hayat BN, PN dan PH akan diperlihatkan di situ. Biarpun teori itu sudah dijelma di Sabah pada September lepas, namun hari ini ia dibiarkan diulang kembali.

PRN Sabah membuktikan peratusan sokongan terhadap BN di belakang PN.

Mungkinkah situasi serupa akan berulang di Melaka. Kita tunggu dan lihat.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo