NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Solat Jumaat hingga 1,000 jemaah di Selangor




22 SEPT: Selangor membenarkan tambahan bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan fardu mulai hari ini berikutan negeri itu berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

Menurut satu surat edaran dalaman yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ketetapan baharu itu mengambil kira penurunan kes COVID-19 semasa yang terus konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.

Kenyataan itu menyebut, bilangan jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dibenarkan seramai 1,000 orang, manakala 500 jemaah bagi masjid lain di Selangor.

“Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi pula, masing-masing 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Masjid pengurusan ditetapkan seramai 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu,” katanya.

Bagi Masjid kariah pula 350 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

Selain itu, surau yang diberi kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah termasuk pentadbir masjid, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Surau kariah dan musolla pula masing-masing 100 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Pihak masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan,” katanya.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin COVID-19 serta melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

Katanya, jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan.

“Program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur al-Quran, kuliah Muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan,” katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo