Responsive Ad Slot

156 ribu dibuang kerja sejak PKP Mac 2020

Mereka yang kehilangan pekerjaan diminta mendaftar di portal MYFutureJobs bagi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan baharu kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan

KUALA LUMPUR: Hampir 156,000 rakyat dibuang kerja sejak awal tahun lalu membabitkan 6,000 majikan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan, dalam jawapan bertulis berkata, 141,191 pekerja berasal dari Semenanjung, manakala 8,996 dari Sarawak dan 5,706 dari Sabah.

Katanya, kumpulan pekerja yang terjejas terdiri daripada sektor perkhidmatan, pembinaan, perkhidmatan sokongan, dan pentadbiran

Saravanan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada RSN Rayer (PH- Jelutong) yang mahu menteri terbabit menyatakan jumlah pekerja yang diberhentikan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Mac 2020.

Saravanan berkata, majikan dikehendaki menghantar borang pemberhentian pekerja 30 hari sebelum pekerja mereka diberhentikan.

Tindakan itu demi memastikan hak pekerja dilindungi dengan disusuli terma pembayaran dibuat majikan, katanya.

Majikan yang gagal mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 jika didapati bersalah.

“Namun, sehingga hari ini, tiada majikan dikenakan tindakan itu. Semua majikan memenuhi semua peraturan,” katanya.

Pekerja yang kehilangan pekerjaan diminta mendaftar di portal MYFutureJobs bagi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan baharu atau berdaftar untuk meningkatkan kemahiran sedia ada, mahupun kemahiran baharu, dalam program disediakan pihak kementerian.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo